top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Misteri Ular Sawa Disangka Kain Batik

Oleh: Aisyah Masri

Penyunting: Najwa Syuhadah


BANGI, 19 Dis: Misteri gumpalan berupa seakan-akan kain batik yang terselit dibahagian luar saluran alat penghawa dingin di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terjawab apabila seekor ular sawa sepanjang lebih dua meter ditemui oleh salah seorang kakitangan yang melalui kawasan terbabit pada jam 12 tengahari tadi.


Mohd Razali Razi, 34, yang juga menjadi Pembantu Operasi di Pejabat Dekan fakulti tersebut menjelaskan pada awalnya beliau menyangka kelibat reptilia tersebut adalah seakan-akan sehelai kain batik yang terselit di bahagian luar alat penghawa dingin di fakulti terbabit berjaya mencuri perhatiannya.


Menurut beliau, ketika kejadian beliau melalui kawasan kejadian dengan menaiki motorsikal untuk menghantar barang. Curiga dengan objek yang dilihatnya membuatkan saksi mengambil keputusan untuk berhenti dan melihatnya dengan lebih dekat.

“Pada pukul 12 tengahari saya telah menaiki motorsikal saya untuk menghantar barang. Kemudian saya terpandang macam ada kain batik yang dibuang dicelah aircond.


“Dengan perasaan curiga, saya pun turun daripada motorsikal dan menghampiri benda yang saya sangkakan kain batik tersebut. Saya terkejut rupa-rupanya kain batik yang saya sangkakan itu ialah seekor ular sawa batik yang sebesar peha manusia,” ujar beliau.


Bimbang akan keselamatan orang ramai, Mohd Razali segera meminta rakannya untuk menghubungi pihak keselamatan ke lokasi kejadian. Pihak Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Bandar Baru Bangi tiba sejurus aduan di buat dan seramai 3 orang anggota bomba bertanggungjawab mengeluarkan ular sawa yang kira-kira sepanjang 2 meter setengah tersebut.


Mohd Razali berkata, pihak bomba mengambil kira-kira kurang daripada 1 minit sahaja untuk menangkap reptilia terbabit kerana ular tersebut dalam keadaan tenang dan tidak bertindak agresif.


“Pihak Bomba hanya mengambil masa 40-50 saat sahaja untuk tangkap ular tu. Keadaan ular tersebut sangat tenang dan tidak agresif seolah-olah kenyang”, katanya lagi.


Pihak Bomba menjelaskan bahawa ular sawa tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Keadaan universiti yang sunyi dan kosong menyebabkan reptilia liar ini berkeliaran sekitar kawasan universiti. Ia ditambah lagi dengan keadaan cuaca hujan ketika ini. Para pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia telah diarahkan pulang dan menjalani kuliah secara atas talian di kawasan tempat tinggal masing-masing bagi mengekang penularan Covid-19 semenjak 18 Mac 2020 yang lalu.

2,076 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page