• Nadi Bangi

Mohd Ekhwan Dilantik Sebagai Naib Canselor UKM ke-12

Oleh: Alis Awasi

Penyunting: Amirul Naim Baseri

Sumber : Google


BANGI, 30 Dis - Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekhwan Toriman dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang akan berkuat kuasa 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2023.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menjelaskan pelantikan Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekhwan sebagai Naib Canselor UKM adalah bagi menggantikan penyandang jawatan sebelum ini, Prof. Datuk Mohd Hamdi Abd Shukor yang telah tamat kontrak pada Oktober yang lalu.

“Saya percaya dengan pengalaman luas dalam bidang pentadbiran, beliau dapat meneruskan kegemilangan UKM sebagai salah sebuah universiti terulung di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Prof. Dato’ Dr Mohd Ekhwan, 51, telah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi.

Ekhwan juga telah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pembangunan), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Beliau merupakan graduan UKM pada tahun 1992 (Ijazah Am) dan 1993 (Ijazah Kepujian) dalam bidang Geografi (fizikal), Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan. Beliau kemudiannya memperoleh Sarjana (MSc) dari University of Manchester serta Doktor Falsafah (PhD) dari University of Newcastle Upon Tyne UK dalam bidang Pemodenan Hidrologi Sekitaran, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Pengurusan Sumber Air.

313 views0 comments

Related Posts

See All