top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

MOOD REPUBLIK TAWAR HARGA ‘GILA’ SEMPENA SYAWAL

Oleh: Zulieda Azni

Editor: Muhammad Amin


Kuala Lumpur 27 Mei – Kehangatan Syawal kian terasa dengan penganjuran pesta mega Mood Republik Raya KL Fest 2019 yang berlangsung selama 72 jam tanpa henti bermula 24 Mei sehingga 27 Mei di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dekat sini.


Mood Republik merupakan satu festival yang menempatkan pelbagai jenama fesyen dan kecantikan di bawah satu bumbung. Ini merupakan tahun keenam semenjak festival itu dianjurkan pada tahun 2014.


Menurut Mohd Azeem, 25, Mood Republik adalah lokasi yang akan dikunjunginya setiap tahun semenjak bazaar raya itu diperkenalkan beberapa tahun lalu kerana mudah mendapatkan pakaian raya untuk pelbagai peringkat umur.


“ Walaupun agak bersesak untuk membeli belah disini tetapi harga yang ditawarkan sangat berbaloi untuk dibeli. Saya boleh dapat 2 pasang baju melayu dengan harga serendah RM150 untuk kedua-dua helai baju.”


“ Lokasinya juga strategik kalau sebelum ini Mood Republik diadakan di PWTC tetapi tahun ini mereka adakan di sini yang dekat juga dengan rumah.”


Mood Republik pada tahun ini membawa kelainan dengan menyediakan 1000 booth jualan secara keseluruhan dengan mensasarkan 2.5 juta pengunjung yang membeli belah sempena persiapan menyambut syawal.


Ain Arifah Zainal, 21, berkata waktu yang tepat untuk mengunjungi bazaar raya ini adalah pada waktu lewat pagi kerana kesesakan pada waktu itu lebih baik daripada waktu yang lain.

“ Kesemua baju yang dijual disini memberi tawaran diskaun yang ‘gila’ dengan diskaun sebanyak 30% dan ke atas daripada harga mencecah RM300 kepada RM100 walaupun berjenama terkenal.”


Menurut Azzim Zahid, 22, beliau berasa puas hati dengan jualan yang sangat laris dan ini adalah pertama kali beliau menyertai Mood Republik.


“ Sebagai seorang peniaga, saya amat berpuas hati dengan hasil jualan sepanjang festival berlangsung. Pengunjung yang datang pun sangat ramai dan memang tak cukup tangan.”


Mood Republik turut disertai 150 jenama selebriti tempatan seperti Wawa Zainal, Mira Filzah, Hairul Azreen, Janna Nick, Zoey Rahman, Hairul Azreen, Saharul Ridzwan, Scha Al Yahya dan ramai lagi.

37 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page