• Siti Kamariah Sujeno

Movie Night 'Night At FEP' Raih Keuntungan RM600

Updated: Nov 20

Penulis: Siti Kamariah Sujeno

Penyunting: Sharifah Nurhanni Narudin

Sumber Gambar: Instagram FEP


BANGI, 8 Nov - Movie Night ‘Night At FEP’ yang dianjurkan oleh Fakulti Ekonomi Pengurusan dengan kerjasama Exco Jaringan Luar Korporat dan Exco Tugas-Tugas Khas telah meraih keuntungan bersih sebanyak RM600 sepanjang dua hari program tersebut berlangsung di dewan kuliah Fakulti Ekonomi Pengurusan (FEP). Menurut Pengarah Program Movie Night ‘Night At FEP’, Nur Lylia Ellisya Ahmad Khairuddin (Sarjana Muda Ekonomi Pengurusan, 3), program ini meraih keuntungan yang lumayan memandangkan persatuan tidak mengeluarkan sebarang modal untuk menayangkan filem. “Tayangan filem ini hanya mengutip bayaran yuran sebanyak RM3 sahaja dan kami buka program ini kepada semua pelajar UKM walaupun pada asalnya khalayak sasaran kami adalah hanya untuk pelajar FEP sahaja. “Saya juga tidak menyangka bahawa program ini akan mendapat sambutan yang luar biasa daripada pelajar UKM kerana hebahan mengenai program ini dilakukan sehari sebelum ia berlangsung,” katanya. Movie Night ‘Night At FEP’ yang dijalankan pada 7 dan 8 Oktober ini, merupakan program yang menayangkan beberapa buah filem luar negara yang popular. Antaranya ialah Filem Pengabdi Setan, Kimonowo, Black Adam dan Miracle in Cell No 7. Tujuan utama program ini adalah untuk mengutip dana persatuan. Program tayangan filem yang berkonsepkan seperti di pawagam ini juga bertujuan untuk menarik lebih ramai pelajar untuk datang ke FEP sekaligus dapat memperkenalkan FEP kepada pelajar dari fakulti lain. Program ini telah dihadiri lebih daripada 200 orang peserta yang bukan sahaja terdiri daripada FEP tetapi juga pelbagai fakulti lain seperti Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dan Fakulti Sains dan Teknologi (FST). “Saya amat terkejut dan teruja kerana ada program atau event yang gempak seperti ini dimana selama saya berada di UKM, tidak pernah lagi ada program ala-ala wayang yang ditayangkan di fakulti. Harga atau yuran yang dikenakan juga sangat murah dan berpatutan untuk pelajar,” kata Azri Hakim Mohd Zali, yang merupakan pelajar dari FEP. Bagi Nur Aiman Kamarul Ariffin@Azmi (Sarjana Muda Ekonomi Pengurusan, 2), meluahkan rasa terujanya kerana program seperti tayangan filem ini sangat jarang diadakan di UKM. “Saya sebagai pelajar berasa sangat teruja dan bersemangat kerana program ini bukanlah program yang selalu dijalankan dan dapat menenangkan fikiran pelajar daripada asyik memikirkan tugasan di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara pelajar tahun 1 dengan pelajar tahun 2 dan tahun 3,” katanya. Aida Nabilah Hishamudin (Sarjana Muda Biologi, 3), yang merupakan pelajar dari FST juga tidak melepaskan peluang untuk turut menonton filem kegemarannya iaitu Black Adam bersama rakannya. “Saya sanggup datang walaupun kelas sangat penuh dari pagi sampai petang semata-mata untuk menonton filem kegemaran saya iaitu Filem Black Adam dan saya rasa sangat berbaloi sebab saya hanya perlu bayar RM3 sahaja untuk menonton filem yang sedang hangat di pawagam. “Kenapa perlu membayar lebih kalau kita boleh menonton filem baharu dengan harga yang lebih murah dan berpatutan?” selorohnya.

17 views0 comments