top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Musim Hujan Jejas Pengeluaran Madu Kelulut

Oleh: Najwa Syuhadah

Penyunting: Aisyah Masri


Sumber: Nadi Bangi

PENG. HULU, 23 Jan – Susulan hujan berterusan yang berlaku di seluruh negara sejak Disember lalu, ia telah menjejaskan pengeluaran madu kelulut dalam kalangan pengusaha industri ini khususnya di Pengkalan Hulu, Perak.


Pengeluaran madu kelulut sewaktu musim tengkujuh sememangnya menimbulkan kebimbingan dalam kalangan penternak kelulut disebabkan oleh keadaan cuaca yang tidak mengizinkan lebah-lebah ini untuk keluar mencari sumber makanan.


Nadi bangi telah menemu ramah beberapa penternak kecil kelulut di sekitar Pengkalan Hulu berkenaan situasi yang melanda mereka setiap kali menghadapi musim tengkujuh.


Antara keluhan yang disuarakan oleh Intan Ruhaiza, 23 tahun iaitu seorang belia penternak madu kelulut, “Kami tidak boleh mengambil madu kelulut semasa hujan dan mendung. Takut kelulut ni akan ‘merajuk’ kita panggil, lebah-lebah ni tidak mahu keluar. Sebab bila keluar dari sarang, sayapnya akan terkena tempias air hujan dan ia akan jatuh dan lemah.”


Kata beliau lagi apabila hujan, sekiranya madu sudah diambil awal maka hasilnya dapat dijual. Tetapi sekiranya terdapat pelanggan yang datang untuk membeli madu kelulut ketika itu sememangnya tiada hasil yang dapat beliau ambil untuk dijual.


“Dalam dua dan tiga sarang juga yang pernah rosak terkena air hujan. Sarang yang terkena air hujan ini masih boleh digunakan sebenarnya tetapi ada caranya. Sarang tersebut awalnya kita buatkan untuk tempatkannya dan ditutup menggunakan plastik lut sinar. Jadi sekiranya terkena air, saya akan potong bahagian yang rosak itu menggunakan pisau dan buang bahagian tersebut. Jadi maksudnya kita tidak akan buang satu kotak sarang tersebut,” tambah beliau lagi.


Nadi bangi juga menemu ramah Norshamsiah Khalid, 49 tahun, seorang penternak madu kelulut yang telah kehilangan sarang madunya disebabkan hujan. Terdapat tiga sarang beliau yang rosak sepenuhnya disebabkan oleh hujan dan diserang kulat. Maka semuanya terpaksa dibuang dan tidak dapat digunakan lagi.


“Apabila sarang kelulut ini diserang kulat, lebah-lebah ini memang akan berpindah ke tempat lain. Jadi sarang tadi ni akan kosong. Rosak la sarang ni. Sarang saya pun ada beberapa sudah rosak ni diserang kulat. Mahal saya beli sarang-sarang ini. Mungkin bukan rezeki saya.”


Beliau juga yang sudah mengusahakan penternakan madu kelulut selama dua tahun itu mengatakan bahawa pendapatan madu kelulut semasa hujan sememangnya agak terjejas. Menurut beliau juga, lebah-lebah ini hanya berada di dalam sarangnya dan tidak keluar semasa hujan.


“Kalau dilanda banjir memang habis la madu kelulut ni. Itulah masalah dia. Satu lagi anai-anai dan cicak. Kalau haiwan-haiwan ini masuk, ianya akan musnahkan koloni kelulut yang ada. Sekiranya anai-anai, ia akan masuk dan bertelur dalam tu dan sarang tu akan reput, habislah semua kelulut yang ada,” ujar Ahmad Sadri, 35 tahun yang kini telah mempunyai sepuluh sarang kelulut.


Menurut beliau lagi sekiranya bukan musim hujan, pendapatan madu kelulut bagi 1 log sarang kelulut kebiasaanya adalah sekitar 2 kilogram. Namun, sewaktu musim hujan beliau hanya dapat memperoleh sekitar 1 kilogram sahaja madu kelulut. Selain itu, harga bagi 1 kilogram madu kelulut ini adalah kira-kira RM 80 hingga RM90.


“Di kampung ni, bila hujan, madu tu ada Cuma kuantitinya kurang. Saya perhatikan, warna madu ni akan berubah ketika musim hujan. Ia akan jadi jernih sedikit, tidak bewarna kuning seperti biasa. Kualiti tetap sama cumanya warna madu kelihatan agak berbeza,” ujarnya lagi.

Apabila tidak keluar sewaktu tengkujuh, lebah-lebah ini juga akan bekerja menguatkan koloni mereka.


Kebiasaannya, madu kelulut asli ini dijual di dalam botol kaca yang datang dalam pelbagai saiz. Misalnya bagi botol bersaiz 150 gram, ianya dijual dengan harga RM 45. Manakala bagi botol bersaiz 320 gram, ianya berharga RM 100. Malah, madu kelulut ini juga boleh diproses dan dijadikan pelbagai jenis produk untuk dijual. Antara bentuk-bentuk produk yang berada di pasaran kini ialah sabun muka, losyen badan, coklat dan krim muka.


134 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page