Oleh : Dina Syafiqah Mohd Zan
Penyunting : Fath Abu Bakar
Sumber : Twitter
BANGI, 21 Nov - Aplikasi Muslim Pro telah menjadi perbualan hangat netizen di media sosial twitter dan mendapat kecaman dari warga netizen kerana didakwa telah menjual data umat Islam seluruh dunia kepada tentera Amerika Syarikat (AS).
Menurut sumber yang dipetik dari TRT World, tentera AS didakwa telah membeli data lokasi orang Muslim melalui aplikasi doa dan al-Quran popular Muslim Pro yang telah dimuat turun lebih dari 50 juta pengguna pada peranti Android melalui Google Play Store dan lebih dari 98 juta di seluruh platform lain termasuk IOS.
Nadi Bangi sempat membaca komen salah seorang pengguna aplikasi Muslim Pro yang turut memberi reaksi di laman media sosial twitter miliknya. “Aplikasi doa dan penunjuk arah kiblat telah mengumpulkan data orang Muslim dan kemudian menjual kepada syarikat yang bernama X-Mode lalu menjualnya pula kepada kontraktor tentera AS” (@Jason_koebler).
Ramai juga pengguna di twitter seakan tidak percaya bahawa aplikasi Muslim Pro telah menjual data pengguna Muslim. “Saya tidak percaya Muslim Pro menjual data kami seperti ini, sekarang adalah masa untuk saya menggunakan tongkat dan melihat pembayang untuk mengetahui waktu solat” kata seorang pengguna twitter (@overdrmatique). Segelintir pengguna meluahkan rasa sedih kerana terpaksa memadam aplikasi tersebut walaupun aplikasi itu menyediakan pakej yang lengkap untuk umat Islam. “Saya sangat suka Muslim Pro kerana menyediakan pakej yang lengkap seperti al-Quran, waktu solat, kiblat dan doa harian semuanya tersedia di sana” (@hawleyisms).
Namun, ada juga pengguna yang tidak terkejut dengan kejadian seperti ini kerana dikatakan pengguna sendiri yang telah mempersetujui terma dan syarat semasa muat turun aplikasi tersebut. “Tidak ada yang mengejutkan mengenai perkara data aplikasi Muslim Pro, kerana kita sendiri yang setuju dan hanya menerima terma dan syarat semasa memuat turun aplikasi tersebut (tidak ok tetapi secara umum)” kata (@notamina4).
Walau bagaimanapun, Muslim Pro telah mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan dakwaan tersebut. Menerusi satu kenyataan Ketua Komuniti Muslim Pro Cik Zahariah Jupary, yang dipetik dari portal berita The Straits Times telah menafikan dakwaan tersebut.
"Ini tidak betul dan tidak benar. Perlindungan dan penghormatan terhadap privasi pengguna kami adalah keutamaan Muslim Pro”.
"Sebagai salah satu aplikasi Muslim yang paling dipercayai selama 10 tahun, kami mematuhi piawaian privasi dan peraturan perlindungan data yang paling ketat, dan tidak pernah berkongsi maklumat peribadi yang dikenal pasti”.
Tambah beliau lagi, kini pembangun aplikasi sedang melancarkan siasatan dalaman dan sedang mengkaji dasar tadbir urus datanya untuk mengesahkan bahawa semua data pengguna dikendalikan dengan betul.
Comments