top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Muzium Pahang Bakal Dijenamakan Semula

Penulis: Nur Syuhada Abdul Jalil

Penyunting: Natrah Laili Abdul Aziz

Foto: Nur Syuhada Abdul Jalil

Muzium Pahang di Pekan dijenamakan semula dengan kos RM 593,502.00 ribu dalam menuju usia 50 tahun Muzium Pahang, Perbadanan Muzium Negeri Pahang kini membuat penjenamaan semula kesemua muzium di negeri ini dari segi falsafah dan pendekatannya.


Apabila sebut sahaja mengenai muzium, pasti ada yang menyatakan bahawa ia merupakan tempat yang tidak menarik untuk dikunjungi kerana muzium hanya menyimpan koleksi barangan lama yang usianya mencecah ribuan tahun. Hakikatnya, koleksi-koleksi tersebut mempunyai latar belakang sejarah yang besar dan penting kepada masyarakat dan negara.


Wartawan Nadi Bangi sempat berkunjung ke Muzium Pahang bersama EzzahAzizFawzy Communications yang terletak di Pekan, Pahang. EzzahAzizFawzy Communications menerbitkan beberapa video untuk memberi kefahaman mengenai falsafah dan pendekatan Muzium Pahang untuk tontonan umum.


Ezzah Aziz Fawzy, 58 menyatakan bahawa usaha Muzium Pahang untuk membawa transformasi daripada konsep asal Kolonial British kepada identiti dan pemikiran bangsa Malaysia ini, digambarkan dalam video-video terbitan mereka.


“Setiap video memaparkan falsafah galeri muzium supaya pengunjung dapat menghayati sejarah tamadun dan warisan silam yang amat berharga dalam pembangunan yang ada sekarang.” Katanya.


Antara tema yang dipaparkan dalam video-video terbitan ialah konsep dan latar belakang sejarah muzium, artifak bukti ketamadunan, sumbangan Islam dalam tamadun manusia dan muzium sebagai pusat keilmuan.


“Usaha ini bagi mendekatkan masyarakat dengan muzium dan muzium bukan lagi sekadar tempat mengumpul dan menyimpan artifak, manuskrip sahaja, malahan sebagai titik pertemuan scholar pengkaji berbincang untuk menghasilakan pemikiran yang selari dengan perubahan semasa.” Katanya lagi.


Sehingga tahun 2021, Perbadanan Muzium Negeri Pahang terdiri daripada beberapa komponen iaitu Muzium Sultan Abu Bakar, Muzium Masjid Sultan Abdullah, Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Muzium Pulau Beram, Muzium Seni Pahang, Kutubkhanah Diraja dan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah (AL-ASAR). Dalam perancangan, PMNP juga sedang menjalankan beberapa projek pembangunan dan bakal menjadi sebahagian daripada pengurusan Perbadanan Muzium Negeri Pahang seperti Muzium Islam KotaSAS di Kuantan, Perkampungan Tenun Diraja Al-Sultan Abdullah di Penor, Kuantan dan mengambil alih pengurusan Muzium Sungai Lembing daripada Jabatan Muzium Malaysia.

Semua galeri di bawah pengurusan Perbadanan Muzium Negeri Pahang akan dibuka kepada orang awam pada 3 Januari 2022.


Sejarah Muzium Sultan Abu Bakar

Pada satu pertemuan dengan orang ramai ketika musim banjir besar, pada tahun 1970, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Tun Hussein telah menyatakan pandangan dan hasratnya bahawa telah sepatutnya Pahang mengadakan sebuah muzium untuk mengisi dan mempamerkan barang-barang budaya dan sejarah yang masih boleh didapati di seluruh negeri Pahang. Pada 30 November 1974, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang telah diminta mengkaji satu kertas kerja mesyuarat berkenaan dengan penubuhan sebuah muzium dan mesyuarat itu bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja, dengan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan.


Satu hal yang amat menarik mengenai penubuhan ini ialah cadangan jawatankuasa ini untuk menjadikan Istana Kota Beram sebagai sebuah muzium negeri yang pertama di negeri Pahang Darul Makmur.


Jawatankuasa tersebut telah mengadakan beberapa mesyuarat. Selain daripada mengambil keputusan bersetuju mewujudkan sebuah Muzium Negeri Pahang, melalui satu Enakmen, jawatankuasa itu juga telah mencadangkan bahawa muzium itu akan dinamakan Muzium Sultan Abu Bakar.Enakmen yang digubal oleh jawatankuasa itu telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pahang dan diwartakan sebagai Enakmen Bilangan 1/11975 pada 14 Ogos 1975. Berpandukan kepada Enakmen ini maka Kerajaan Negeri Pahang telah menubuhkan sebuah Lembaga pengelola yang diberi nama Lembaga Muzium Negeri Pahang.


Pada masa itu, Lembaga mula menjalankan urusan mendapatkan kakitangan, membaiki Istana Kota Beram dan mendapatkan barang-barang yang berunsurkan kebudayaan dan sejarah untuk mengisi Istana Kota Beram sebagai sebuah muzium. Kerajaan negeri Pahang memilih Istana Kota Beram sebagai bangunan muzium kerana bangunan ini didirikan di suatu tapak yang bersejarah dan istana itu mempunyai sejarahnya yang tersendiri.


Sejak penubuhan Lembaga Muzium Negeri Pahang pada tahun 1975, Perbadanan Muzium Negeri Pahang telah mengalami banyak perubahan dan perkembangan yang membanggakan dari segi permuziuman, penyelidikan dan penerbitan serta koleksi artifak tinggalan sejarah tempatan. Untuk memenuhi keperluan fungsi muzium yang semakin bertambah dan berkembang, melalui keputusan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang ke-38/2016 pada 7 Disember 2016 telah menetapkan Tarikh permulaan kuat kuasa Enakmen Perbadanan Muzium Negeri Pahang (Enakmen 13) pada 1 Januari 2017. Melalui Enakmen ini, Lembaga Muzium Negeri Pahang telah diperbadankan pada 1 Januari 2017 dan menggunapakai nama Perbadanan Muzium Negeri Pahang sehingga kini.


Idea Dan Konsep Muzium

Pada asal penubuhannya, muzium hanya fokus kepada menjalankan aktiviti khusus dalam bidang permuziuman. Antara fungsi muzium termasuk bertindak sebagai gedung khazanah warisan sejarah dan budaya iaitu memungut, memelihara dan menyimpan warisan sejarah dan budaya termasuk tanah, tapak tanah dan monumen sejarah.


Kini, hala tuju muzium telah berubah lebih dari sekadar tempat menyimpan dan mempamer koleksi dan artifak kesan sejarah malah menjadi institusi penyelidikan. Menyedari kepentingan sejarah sebagai perkara asas untuk membangunkan sesebuah tamadun manusia, pusat kajian sejarah dan tamadun Al-Sultan Abdullah telah ditubuhkan bagi membetulkan penulisan sejarah yang dibuat oleh orientalis terutama Ketika penjajah British di Tanah Melayu.


Penubuhan pusat kajian ini dapat menjadi pusat rujukan berguna untuk universiti-universiti tempatan dan luar negara serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia di kalangan orang awam yang berminat untuk mengetahui sejarah tanah air mereka. Perkembangan muzium ke arah institusi pemuziuman dan penyelidikan dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang yang penting untuk memastikan generasi hari ini dan akan datang dapat mengenali dan menghargai sejarah serta jati diri mereka.


Koleksi Muzium

Pada peringkat awal penubuhan Muzium Sultan Abu Bakar sehingga 31 Disember 1976, Lembaga Muzium Negeri Pahang hanya memiliki 2,259 item barangan yang dikategorikan sebagai barangan lama yang mempunyai nilai sejarah dan kebudayaan bercorak negeri Pahang. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,405 item adalah hadiah, 754 item dibeli dan 100 item adalah barangan pinjaman. Kebanyakan koleksi diperolehi melalui pembelian, pinjaman dan hadiah daripada orang perseorangan, jabatan dan agensi kerajaan. Bahan selebihnya adalah secara jumpaan tidak sengaja termasuk individu yang menyerahkan secara sukarela kepada muzium untuk disimpan. Setakat tahun 2021, Muzium Pahang mempunyai 50 kategori koleksi yang jumlah keseluruhannya sebanyak 9,054.


Antara koleksi-koleksi yang terdapat dalam muzium tersebut adalah Seramik alat Muzik atau alat bunyi, tembaga, senjata, kebudayaan, koleksi Orang Asli, manuskrip dan dokumen, azimat, buku dan bahan bercetak, koleksi KDYMM Tengku Puan Pahang dan pelbagai lagi.


Artifak yang menarik perhatian penulis adalah pisau tembeling yang digunakan bertujuan untuk penuaian padi. Pisau tembeling ini menunjukkan bahawa pertanian sudah wujud di Pahang sejak 4000 tahun dahulu sekaligus membuktikan ketamadunan Pahang yang wujud sejak dahulu lagi.


Kepentingan Muzium Kepada Masyarakat

Antara kepentingan muzium kepada masyarakat adalah untuk memperkenalkan dan mendekatkan institusi pemuziuman kepada masyarakat melalui pendidikan menyeluruh bagi menanam kesedaran terhadap kepentingan usaha memelihara dan mengekalkan khazanah warisan bangsa.


Seterusnya, untuk menyelamatkan warisan sejarah dan budaya dengan cara memungut, memelihara, menyimpan dan mempamerkan koleksi lama dan baru yang mempunyai nilai sejarah dan budaya tradisi bercorak Negeri Pahang Darul Makmur khasnya dan Malaysia amnya.


Dan akhir sekali, untuk menjalankan penyelidikan dan kajian di dalam beberapa cabang kebudayaan Negeri Pahang Darul Makmur khasnya supaya penerangan mengenainya dapat disebarkan kepada orang ramai sebagai bahan pengetahuan dan rujukan serta mendidik semangat cinta akan budaya sendiri

267 views0 comments

Comentarios

Obtuvo 0 de 5 estrellas.
Aún no hay calificaciones

Agrega una calificación
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page