• Nadi Bangi

Nabil Ahmad Sindir Diva AA?

Wartawan: Aisyah Masri

Penyunting: Najwa Syuhadah


Sumber: Google


BANGI, 21 Nov: Pengacara Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7), Nabil Ahmad telah menjadi bualan ramai sehingga namanya trending di laman Twitter apabila kebanyakan netizen mengecam tindakannya yang dikatakan keterlaluan dan tidak beradab menyindir selebriti Azwan Ali yang kini kembali dalam dunia pengacaraan baru-baru ini.

Walaupun Nabil tidak menyebut nama Azwan Ali secara terbuka tetapi rata-rata netizen membuat spekulasi bahawa sindiran tersebut ditujukan kepada beliau apabila tindakan Nabil mengeluarkan ayat Selfie Stick yang sememangnya sinonim dengan Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA ketika konsert siaran langsung Gegar Vaganza minggu keenam berlangsung.

Not my level, shut up! Orang selalu pegang selfie stick tiba-tiba pegang mikrofon jadi macam itulah”, katanya.

Tindakan pengacara tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen terutamanya peminat-peminat Diva AA yang sememangnya menantikan kepulangan figura kesayangan mereka beraksi kembali di pentas pengacaraan. Netizen turut mengkritik gaya pengacaraan Nabil yang dikatakan tidak setaraf dengan Diva AA yang lebih lama menceburi bidang pengacaraan berbanding beliau.

“Nak sindir-sindir orang konon, diri sendiri tak tengok. Tak setaraf okay dia ni nak dibandingkan Diva AA yang dah lama dalam industri ni,” Nadi Bangi memetik kenyataan komen daripada pengguna Twitter @muhammadzakwanz.

Nadi Bangi turut memetik kenyataan daripada beberapa netizen yang meninggalkan komen di ruangan Twitter mengatakan Nabil Ahmad hanya ingin mencari publisiti murahan semata-mata. Kenyataannya itu juga dikatakan ‘berani mati’ apabila pengikut-pengikut Diva AA tahu bagaimana sikap beliau yang lantang dan kasar apabila bersuara. Kebanyakan pengguna media juga mengatakan bahawa mereka tidak sabar untuk menunggu maklum balas Diva AA terhadap kenyataan Nabil tersebut.

“Tak sabar nak tunggu Diva AA balas. Berani betul kau Nabil cari pasal dengan Diva. Siaplah kau Nabil,” ujar @zuhairmi99.

“Si Nabil mengata Diva AA Tersohor. Dia tak kenal agaknya siapa Diva yang sebenarnya. So now makikan balik je wahai Diva kesayangan kami. Biar buku bertemu ruas,” kata @cheakmaldaniel di laman Twitter.

Dalam pada itu, netizen juga mendesak dan berharap Nabil akan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Azwan Ali dan tidak mengulangi perbuatannya itu lagi. Setakat ini, kedua-duanya masih berdiam diri dan belum mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap isu tersebut.

Pada awal kemunculannya, Azwan Ali atau nama sebenar beliau ialah Mohammed Azwan bin Ali mula dikenali ramai apabila menjadi pelakon utama menerusi filem Aku no 1 dan beliau juga banyak melibatkan diri dalam bidang pengacaraan sebaris dengan pengacara hebat lain seperti Datuk Aznil Hj Nawawi sekitar tahun 90-an sebelum beliau dilihat semakin memperlahankan kariernya. Azwan Ali yang kini telah kembali dalam dunia hiburan telah mengacarakan sebuah program bakat nyanyian yang bertajuk Lagu Cinta Kita bersama dengan pengacara sensasi, Elly Mazlein.



32 views0 comments

Related Posts

See All