Oleh : Mazidatul Husna Amir
Penyunting : Ateefa Zulkifli
BANGI, 23 NOV - Acara rejam lembing bagi Kejohanan Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (SUKEM) 2019 masih lagi didominasi oleh atlet muda, Muhammad Najmi yang mewakili Kolej Tun Hussein Onn dengan catatan jarak sebanyak 50.16 meter.
Dengan catatan jarak tersebut Najmi secara tidak langsung telah menyumbang satu pingat emas kepada Kolej Tun Hussein Onn bagi acara tahunan SUKEM kali ini.
“Alhamdulillah dengan persiapan rapi, jarak telah bertambah sebanyak lima meter daripada 45 meter ketika SUKEM 2018 kepada 50.16 meter bagi SUKEM 2019. Ini adalah jarak yang terkini dan ia juga adalah catatan terbaik untuk tahun ini,” kata Muhammad Najmi.
Menurut Muhammad Najmi, disiplin yang tinggi dalam mengikuti jadual latihan yang merangkumi beberapa aspek seperti technique, speed dan strength menjadi punca kejayaan beliau pada hari ini.
Ketiga - ketiga perkara tersebut memerlukan Najmi untuk melakukan latihan plyometric training, circuit training dan technique training sebagai persiapan rapi beliau.
Beliau juga merupakan pemilik pingat gangsa bagi acara lempar cekera pada SUKEM 2019 berasa amat berpuas hati dengan pencapaiannya yang semakin bertambah baik berbanding tahun lepas.
“Saya berasa sangat berpuas hati kerana atas usaha keras saya selama ini telah memberi hasil yang sangat memberangsangkan dan ini boleh menjadi sebagai pembakar semangat saya untuk terus memberikan yang terbaik dalam sukan rejam lembing,” katanya lagi.
Muhammad Najmi dilihat sebagai atlet muda yang sangat berbakat dan mampu untuk pergi dengan lebih jauh dalam acara rejam lembing bahkan beliau pernah berada pada tahap kelayakan Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2016.
Namun terdapat beberapa kekangan yang dihadapinya sehingga tidak sempat untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi ujian kelayakan sekaligus gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
Walaupun begitu, Muhammad Najmi yang merupakan pelajar tahun tiga fakulti ekonomi dan pengurusan dalam jurusan ekonomi islam semakin mengorak langkah dengan menyertai dan mewakili universiti di Sukan Antara IPT (SUKIPT) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM).
コメント