top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Nasyid Moden Kontemporari Tampil Juara

Oleh : Fatin Nasuha Remle

Penyunting : Zarith Sofea Zawawi


Sumber: Facebook UKM

Bangi, 23 Nov - Kumpulan nasyid dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) dengan konsep moden kontemporari telah dinobatkan sebagai juara pertandingan nasyid di Malam Kemuncak Festival Kesenian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (FESKIS UKM) baru-baru ini.


Pertandingan tersebut telah berlangsung pada 16 November lalu dan disertai oleh beberapa buah fakulti antaranya Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Fakulti Pengajian Islam (FPI), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dan Fakulti Undang-Undang (FUU).


Juara pertandingan nasyid itu tampil membawa kelainan dalam aspek persembahan mereka hingga mengalahkan kumpulan nasyid dari FPI yang berada di tempat kedua.


Ketua kumpulan nasyid FEP, Azizi bin Musa berkata, mereka cuba menampilkan sedikit kelainan daripada segi pemilihan lagu dan busana yang bertemakan santai dan kasual.


“Kita nak berdakwah ada macam-macam cara, tak semestinya nasyid kena pakai jubah, songkok dan sebagainya. Kita ikut perkembangan semasa dan minat anak-anak muda sekarang.”


Tambahnya lagi, pemilihan lagu dibuat berdasarkan keselesaan penyanyi dan ahli kumpulan serta sesuatu yang mudah untuk dibawa dan disampaikan kepada pendengar.


Menurut Shahidan dan Azhar, vokalis kumpulan nasyid tersebut berkata, mereka tidak menyangka kemenangan berpihak kepada mereka.


“Kami tak sangka yang kami akan menang malam ni. Bila pengacara umum FPI tempat kedua kami terkejut, sebab pada kami mereka lebih hebat,” kata mereka.


Pertandingan nasyid tersebut telah dihakimi oleh tiga orang juri iaitu Encik Abdul Hadi Samsi dari Aktivis Seni UPM, Encik Ahmad Saizuddin Mohamed dari Aktivis Seni SMK Seri Andala dan Encik Iskandar Zulkipli.


Menurut Encik Ahmad Saizuddin Mohamed, pertandingan nasyid ini dinilai melalui tiga kriteria pemarkahan iaitu vokal merangkumi 60 peratus manakala kreativiti dan busana sebanyak 40 peratus.


“Kami juga titikberatkan kereserasian dan kesepaduan antara kumpulan selain daripada kreativiti persembahan tersebut,” kata beliau.


Encik Abdul Hadi Samsi berkata, kumpulan nasyid FEP antara kumpulan yang membawa lagu yang mencabar vokal.


“Untuk diangkat sebagai juara, kumpulan tersebut perlu tahu kemampuan kumpulan mereka, membuat pemilihan lagu yang tepat dan terakhir kreativiti,” ujar beliau.


Johan pertandingan nasyid itu telah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM600 dan berkesempatan membuat persembahan di Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat UKM 2019 pada 18 November lalu di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).

34 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page