top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Negara Dilanda Musim Tengkujuh Berpanjangan, Penduduk Perlu Amalkan Langkah Berjaga-jaga

Updated: Jan 10, 2022

Penulis: Nur Syazwana Abu Bakar

Penyunting: Fitrah Kamaleea Mohd Zam


Sumber: Google


Penduduk perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga apabila tibanya musim banjir bagi memastikan kemalangan ketika banjir pada tahap sifar. Namun, ada sesetengah penduduk tidak menitikberatkan keselamatan mereka ketika banjir dan menganggap banjir adalah satu keseronokan. Ketika fenomena banjir berlaku di sesuatu tempat, potensi untuk mendapat penyakit berjangkit bahkan lebih teruk lagi hanyut dibawa arus adalah sangat tinggi. Banjir yang berlaku di Selangor baru-baru ini hampir menenggelamkan beberapa tempat dan ianya sangat membahayakan penduduk jika mereka tidak mengambil langkah berjaga-jaga.

Jabatan Meteorologi Malaysia di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air telah mengeluarkan notis amaran hujan berterusan di beberapa buah negeri iaitu di negeri Selangor, Pahang dan juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada paras bahaya dan dijangka hujan lebat akan berterusan dijangka berlaku. Manakala negeri Perak, Kelantan, Wilayah persekutuan Putrajaya dan Negeri Sembilan pada tahap buruk dan beberapa lagi kawasan pada tahap waspada.


Hal ini menunjukkan banjir melanda di beberapa buah negeri ketika itu pada tahap bahaya dan ia bukanlah satu perkara yang boleh dibawa main kerana jika tersalah langkah, maut yang menanti. Lebih teruk lagi ada yang menjadikan fenomena banjir sebagai konten untuk video TikTok mereka tanpa rasa bersalah kononnya untuk melepaskan tekanan.


Sebenarnya, perbuatan mereka sangat memberi risiko kerana mengabaikan keselamatan mereka sendiri dengan tidak memakai alat pelindung diri dan jaket keselamatan ketika banjir. Ada yang membiarkan anak-anak mereka bermain dengan air. Hal seperti ini tidak patut terjadi kerana ia sangat membahayakan disebabkan mereka tidak tahu apa yang berada di bawah air tersebut contohnya seperti longkang, lubang besar, binatang yang berbisa dan juga segala penyakit berjangkit boleh didapati dalam banjir tersebut. Penduduk perlu sentiasa berfikir panjang ketika situasi ini dan perlu sentiasa waspada dengan kedalaman dan kekuatan arus banjir yang tidak dapat dijangka dari semasa ke semasa.

Sumber: Tiktok


Seperti yang kita tahu, banjir adalah luapan air dalam jumlah yang besar ke daratan yang biasanya kering tetapi apabila banjir berlaku sememangnya kualiti air tidak boleh dijamin kebersihannya kerana ia bercampur dengan bermacam-macam benda yang ada di sekelilingnya. Misalnya, banjir di Selangor dikategorikan sebagai banjir kilat. Masalah sistem perparitan menyumbang kepada berlakunya banjir. Apabila hujan lebat yang berterusan, maka air pada peringkat awalnya perlu dialirkan ke longkang. Kemudian daripada longkang perlu dialirkan ke parit seterusnya ke sungai. Apabila longkang, parit atau sungai tersumbat maka ianya akan mengganggu aliran tersebut dan akan mengakibatkan air bertangkung dan menyebabkan banjir. Daripada situ kita dapat bayangkan betapa tidak bersih air banjir ketika itu dan peliknya penduduk tidak berasa geli bermain dengan air yang kotor. Adakah mereka tahu ataupun buat-buat tidak tahu dengan bahaya banjir?


Kesan Fenomena Banjir Kepada Penduduk

Bahaya banjir merupakan satu fenomena yang mewujudkan ancaman kepada manusia. Walaupun tidak semua yang terjejas dengan banjir, namun mangsa yang terlibat terpaksa menanggung kerugian yang besar akibat kerosakan harta benda, pertanian, penternakan dan sebagainya. Manakala kesan yang paling buruk berlaku akibat banjir apabila ianya melibatkan kesihatan manusia. Mangsa banjir terdedah dengan persekitaran yang tidak bersih. Apabila musim hujan, penyakit berjangkit akan meningkat dan yang mempunyai penyakit kronik pula akan menjadi parah jika tidak diawasi. Cirit-birit adalah penyakit yang biasa berlaku ketika banjir kerana ia dikaitkan dengan kebersihan makanan dan minuman. Justeru itu, untuk mengelakkan dari terkena penyakit cirit-birit, pihak kementerian kesihatan menyarankan agar penduduk membiasakan diri mencuci tangan dengan sabun setiap kali makan dan selepas buang air besar serta mengambil air minum yang benar-benar masak.


Bukan itu sahaja, mangsa juga terdedah dengan penyakit kulit akibat air banjir yang kotor dan tercemar dengan pelbagai kotoran. Oleh itu, selalunya mangsa akan mengalami alahan dengan bintik-bintik merah di kulit dan gatal seluruh badan. Disebabkan inilah penduduk disyorkan untuk tidak melakukan aktiviti di waktu banjir. Seterusnya leptospirosis atau penyakit kencing tikus boleh menjangkiti manusia melalui hubungan terus dengan air, makanan atau tanah yang mengandungi kencing haiwan yang dijangkiti ini. Ini mungkin berlaku dengan menelan makanan atau air yang dicemari atau melalui sentuhan luka pada kulit. Menurut pakar penyakit berjangkit, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr Muhamad Yazli Yuhana berkata, mangsa akan mengalami demam untuk dua atau tiga hari selepas berhadapan fenomena itu sekaligus berasa menggigil dan mengalami kesukaran untuk bernafas apabila terdedah kepada kuman leptospirosis.


Banyak lagi penyakit dan bahaya yang boleh terjadi akibat banjir. Oleh itu, penulis berharap agar penduduk tidak mengambil mudah terhadap keselamatan mereka ketika banjir dan perlu sentiasa peka dengan arahan semasa dari pihak berkuasa dan sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan kendiri bagi mencegah penyakit-penyakit lain yang sering terjadi semasa musim banjir. Jadilah manusia yang setiasa berfikir panjang tentang risiko yang bakal berlaku semasa banjir.


23 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page