Nadi Bangi
Netizen Bantah Sambutan Hari Batik Malaysia Pada 3 Disember
Penulis: Amirah Shahirah Sukemi
Penyunting: Aina Syahirah Haidil

Sumber: Google
KUALA LUMPUR, 2 Dis - Selepas pengisytiharan Hari Batik Malaysia ditetapkan pada 3 Disember, ramai nitizen di laman media sosial Twitter tidak bersetuju dengan cadangan tarikh tersebut.
Ini susulan pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Ismail Sabri Yaakob bahawa tarikh 3 Disember merupakan Hari Batik Malaysia yang akan disambut pada setiap tahun dan telah menetapkan hari Khamis sebagai hari pemakaian batik Malaysia bagi penjawat awam.
Menurut ucapan khas yang disiarkan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM), beliau berkata, kerajaan berharap pengisytiharan yang dilakukan dapat menggalakkan seluruh masyarakat yang berbilang kaum untuk memakai pakaian batik Malaysia.
Menurut beliau juga, tarikh 3 Disember dipilih sebagai Hari Batik untuk tanda penghargaan atas segala sumbangan dan sokongan yang telah dilakukan oleh Allahyarhamah Tun Endon Mahmood iaitu isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memulakan gerakan Malaysian Batik-Crafted for the World pada tarikh yang sama pada tahun 2003 untuk membawa batik tempatan ke peringkat antarabangsa.
Walau bagaimanapun, ramai netizen yang menyuarakan pendapat mereka bahawa mereka tidak bersetuju Hari Batik Malaysia disambut pada 3 Disember kerana tarikh tersebut merupakan Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) Sedunia.
Netizen di media sosial juga menggesa supaya tarikh itu ditukar dan meminta agar tarikh tersebut tidak disamakan dengan Hari OKU bagi memberi sokongan dan kesedaran kepada golongan OKU.
“Saya tidak faham. Benar-benar tidak faham. 3 Disember adalah Hari OKU Sedunia. Mengapa diisytiharkan pula sebagai Hari Batik? Kita sudah memakai pemakaian batik setiap khamis. 3 Disember adalah hari penting untuk kesedaran, advokasi dan sumbangan OKU” menurut ciapan daripada @Fadhlina Siddiq di laman media sosial Twitter.
“3 Disember ialah Hari Orang Kurang Upaya Sedunia. Tolong pilih tarikh lain. Jangan tenggelamkan tarikh yang sepatutnya disambut bagi mengiktiraf golongan kurang upaya dalam masyarakat kita.”- @Schwarzenmann
“3 Disember tu Hari Orang Kurang Upaya Sedunia. Sesuka hati je nak jadikan batik la apa la. Dah lah orang Kurang Upaya dekat Malaysia ni punya bantuan tak seberapa lepastu tarikh yang penting untuk dorang pon dicabuli”- @azziqaziz
Bukan itu sahaja, menerusi ciapan @Cempakatelor beliau menyatakan bahawa penasihat kerajaan tidak peka akan isu ini dan seharusnya mereka perlu selidik terlebih dahulu sebelum mengistiharkannya lagi pula sudah ada pekeliling pemakaian baju batik dan kuatkuasakan saja pemakaian baju batik setiap hari khamis dalam kalangan penjawat awam.
Pada pandangan wartawan nadi bangi sendiri, mungkin pihak kerajaan boleh sahaja menggubal tarikh tersebut kepada suatu tarikh yang lain agar pada tarikh 3 Disember dapat digunakan untuk mengapresiasi dan memberi fokus kepada golongan OKU untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang golongan ini.