• Nadi Bangi

Netizen Berang Dr. Amalina Dilabel Doktor Twitter

Oleh: Anis Natasya

Penyunting: Haziq Johan


BANGI, 12 Jun - Netizen di laman media sosial Twitter berang apabila salah seorang pengguna Twitter melabel Nur Amalina Che Bakri, atau lebih dikenali sebagai Dr. Amalina Bakri seorang “doktor Twitter”.


Isu tersebut muncul apabila terdapat sebuah perbincangan di laman media sosial itu tentang pengambilan vitamin C yang berlebihan adalah tidak perlu dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan seperti batu karang.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), orang dewasa hanya memerlukan 70 mg vitamin C setiap hari dan boleh diperoleh daripada buah-buahan seperti jambu batu, betik, limau manis, tembikai susu dan mangga. Kebanyakkan suplemen tambahan mengandungi kandungan yang melebihi keperluan tubuh badan.


Seorang pengguna Twitter yang digelar Rul tidak bersetuju dengan majoriti pendapat netizen yang lain yang menyatakan suplemen berlebihan adalah tidak bagus untuk tubuh badan manusia. Dia mengatakan bahawa vitamin C yang berlebihan tidak akan mendatangkan sebarang kemudaratan kepada tubuh badan manusia. Dia juga mengatakan terdapat suplemen tambahan yang mengandungi teknologi sustained release di mana vitamin C akan dilepaskan secara perlahan-lahan di dalam badan.


“Tiada berlebihan pun. 500 mg adalah masih diterima kerana mempunyai teknologi sustained release. Vitamin tersebut akan tahan di dalam badan selama 8 jam dan akan dilepaskan secara perlahan-lahan. Untuk pengetahuan anda, kadang kala ada buah-buahan yang tidak selamat kerana penggunaan baja kimia.”


Untuk membidas kenyataan tersebut, seorang pengguna Twitter yang lain memetik sebuah tweet daripada Dr. Amalina Bakri.


“Mengambil suplemen tambahan yang tidak diperlukan oleh tubuh badan adalah sama dengan mempunyai air kencing yang mahal kerana manusia akan membuang segala suplemen tambahan yang berlebihan melalui air kencing. Ini bermaksud anda membazirkan duit anda.”


Rul kemudian memberi respon bahawa dia tidak percaya dengan sumber yang dipetik daripada “doktor Twitter”. Dia juga menyatakan bahawa dia mempunyai rakan-rakan di dalam bidang doktor dan kesihatan, dan lebih mempercayai sumber yang diperoleh daripada mereka.


Tweet tersebut telah mengundang kemarahan netizen yang menyebelahi Dr. Amalina Bakri. Hal ini kerana Dr. Amalina Bakri juga merupakan seorang doktor yang bertauliah dan diiktiraf. Beliau terkenal dengan pelbagai jenis pencapaian dalam bidang kesihatan.


“Dr. Amalina doktor pakar di England, tetapi dikatanya doktor Twitter,” kata seorang pengguna Twitter di bawah tweet milik Rul.


Seorang pengguna Twitter yang lain menyenaraikan pencapaian Dr. Amalina Bakri dan menyatakan bahawa beliau bukan hanya seorang “doktor Twitter”.


“Beliau merupakan seorang graduan Harvard, Cambridge dan Edinburgh dalam bidang perubatan dan kini menjalankan PhD di Imperial. Beliau juga terlibat dalam pengagihan vaksin AZ di United Kingdom. Tetapi anda hanyalah sebuah kotoran di tepi jalan.”


Terdapat juga netizen yang marah kerana kenyataan-kenyataan yang dikongsikan oleh Rul bernada angkuh dan menolak sebarang pendapat yang berlainan.


“Sombong dan angkuh. Pertama kali dalam hidup saya di mana saya dapat memahami definisi bodoh sombong.”

313 views0 comments

Related Posts

See All