Nadi Bangi
Netizen Kecewa Dengan Kualiti Siaran myFreeview
Oleh: Nur ‘ Ain Syafiqah Rahim
Penyunting: Lovina Nova Sukra a/p Lorganaden

BANGI, 25 Okt – Ramai netizen dari seluruh Malaysia selaku pengguna myFreeview melontarkan komen di laman Facebook yang bersifat kecewa, kesal, dan tidak puas hati terhadap perkhidmatan siaran televisyen (TV) digital.
Siaran TV digital myFreeview adalah usaha kerajaan untuk memperbaharui sistem teknologi penyiaran TV dan radio seiring peringkat antarabangsa dan memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.
Perkhidmatan siaran TV analog di Malaysia bakal dihentikan sepenuhnya pada 31 Oktober tahun ini bagi memfokuskan perlaksanaan projek siaran TV digital yang dinaungkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
Proses peralihan daripada siaran TV analog ke siaran TV digital myFreeview bermula dari 21 Julai lalu dengan secara berperingkat mengikut wilayah dan negeri.
Namun begitu, proses peralihan teknologi penyiaran TV baharu ini tidak berjalan dengan lancar dan menerima banyak aduan tentang gangguan siaran serta masalah pemasangan dekoder oleh para pengguna.
Berhubung kenyataan media oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), penerimaan rakyat terhadap perkhidmatan siaran TV digital ini dilihat kurang memuaskan disebabkan kualiti yang agak teruk.
Menurut SKMM, isu gangguan siaran sedang giat ditangani oleh pihak mereka dan menyarankan pengguna membuat laporan jika terdapat masalah dengan perkhidmatan siaran myFreeview.
Hasil tinjauan wartawan Nadi Bangi di ruangan komen laman Facebook milik myFreeview mendapati banyak luahan berbaur kesal dan tidak puas hati oleh netizen tentang kualiti siaran yang bermasalah.
Manichitra, seorang pemilik akaun Facebook meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kegagalan sistem dekoder myFreeview dan tindak balas pusat khidmat pelanggan pada 21 Oktober lalu.
“Kenapa dekoder myTV saya tak dapat siaran dari RTM1, RTM2, dan saluran RTM yang lain, saya dah berpuluh kali cuba telefon pusat khidmat pelanggan di 1800-18-1088 tetapi malangnya mesin operator sahaja yang menjawab kononnya semua sedang sibuk, lebih baik tutup je pusat khidmat pelanggan…channel je banyak tapi sibuk jual barang,” katanya.
Seorang lagi pengguna myFreeview, Mohd Azhar Ariffin, berasa kesal dengan tindakan kerajaan yang dianggap terburu-buru dan tidak teliti dalam melaksanakan projek baharu.
Kata Azhar, “Talian sibuk. Telefon tak pernah angkat. Lain kali pastikan semua dah ‘cantik’ baru launching noo. Ni signal mcm hampas.”
Sementara Mohd Ikhlas berkata, “Siaran myFreeview ini paling teruk, kawan juga ada dapat pasang perkhidmatan ini, hanya dua bulan bertahan kemudian terus tidak dapat siaran.”
Isu ini mendapat perhatian daripada pihak SKMM dan mereka telah mengeluarkan kenyataan media bagi menunjukkan mereka sedia maklum dengan aduan yang dilontarkan oleh para pengguna.
Justeru itu, SKMM menasihati pengguna agar membeli dekoder yang telah disahkan oleh MCMC atau SIRIM bagi memastikan kualiti siaran TV digital myFreeview terjamin.