Nadi Bangi
Netizen Kritik Ciri Terbaharu Twitter, Fleets.
Oleh : Ain Arifah
Penyunting : Sarah Marini

BANGI, 29 Nov – Pelancaran ciri terbaharu aplikasi Twitter iaitu Fleets telah mengundang pelbagai kritikan daripada para pengguna aplikasi media sosial tersebut kerana persamaan ciri Twitter Fleets dengan Instastory di Instagram.
Menurut blog rasmi Twitter, Fleets merupakan hantaran sementara (ephemeral post) yang dilancarkan untuk memberi peluang kepada pengguna yang kurang selesa untuk berkongsi pendapat mereka kepada orang awam dengan menggunakan ciri terbaharu tersebut yang hanya boleh dikongsikan kepada orang awam atau pengikut dalam tempoh 24 jam sahaja.
“Anda boleh Fleets tulisan, memberi reaksi kepada tweets, gambar atau video dan menyesuaikan Fleets anda dengan pelbagai pilihan latar belakang dan tulisan. Format ini mungkin kedengaran biasa kepada anda! Tetapi, kami mempelajari bahawa sesetengah orang lebih selesa menggunakan format singkat ini,” petikan daripada blog.Twitter.com.
Dalam blog tersebut juga, Twitter.inc berkongsi bahawa sepanjang tempoh percubaan ciri baharu Fleets yang dijalankan di Brazil, Itali, India dan Korea Selatan, mereka mendapati bahawa pengguna lebih banyak berkongsi di Twitter selepas adanya Fleets.
Nadi Bangi sempat meninjau reaksi dan pandangan daripada pengguna aplikasi tersebut tentang ciri terbaharunya iaitu Fleets yang baru sahaja dilancarkan pada 17 November yang lalu.
“Tak perlu pun ada fleets ni, cukup la kat instagram,” komen daripada pemegang akaun @deenie.dee
“Twitter’s new ‘fleets’ features dah macam story Instagram,” ujar pengguna akaun @syamirazhar.
Tinjauan turut mendapati bahawa ramai pengguna tidak menyenangi ciri terbaharu yang dilancarkan oleh Twitter kerana persamaan ciri tersebut dengan aplikasi Instagram menjadikan aplikasi media sosial pilihan pengguna itu kehilangan identiti aslinya.
“Kalau dah ada fleets ni, lama-lama orang tak pandang dah content tweet bertulis ni. Jadi macam Instagram, semua scroll igstory je tak tengok pun timeline orang upload gambar apa. Which is Instagram’s original purpose,” ujar pengguna akaun @amirulalhafiz.
“Orang mintak button retweet lama, yang ni engko bagi ek,” komen daripada pemengang akaun @hazriqace.
“Tak mintak banyak pon takde fleets pun takpe asal kembalikan button retweet yang dulu!” komen daripada pemegang akaun @n_alisyhaha.
Insider.com turut berpendapat bahawa ciri terbaharu ini boleh disalahgunakan oleh pengguna kerana pengguna tidak akan mendapat pemberitahuan sekiranya hantaran mereka dikongsikan di dalam Fleets pengguna lain.