Oleh: Saeid Juwanda
Penyunting: Arif Zahran
BANGI, 22 Dis – Isu status agama Illi Najwa Saddique serta pasangannya hangat dipersoalkan oleh netizen di media sosial, susulan rakaman video majlis upacara perkahwinan mereka yang tular beberapa hari lepas.
Kira-kira tiga hari lepas, viral di media sosial satu rakaman video majlis upacara perkahwinan di antara Illi Najwa Saddique bersama pasangannya iaitu Kapten Hoki India, Manpreet Singh Pawar di dalam satu liputan media di India.
Rakaman video sekitar satu minit dua puluh sembilan saat itu menunjukkan Illi bersama pasangannya melakukan upacara perkahwinan mengikut kepercayaan agama Sikh di dalam rumah ibadat yang dikenali sebagai gurdwara, sekaligus mendapat perhatian netizen dan juga kerajaan Malaysia.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, Illi akan dipanggil balik ke Malaysia bagi mendapatkan penjelasan berhubung status agama mereka.
“Bagaimanapun, berdasarkan maklumat awal yang diterima, wanita berkenaan masih seorang Muslim dan setakat ini tiada permohonan diterima untuk menukar agama,”
Tambahnya lagi, pihak mereka tidak menerima sebarang permohonan daripada wanita berkenaan untuk berkahwin di luar negara. Dapatan menerusi pembacaan di media sosial, wanita berkenaan masih Islam dan lelaki itu dikatakan sudah memeluk Islam akhir tahun lalu.
Pelbagai hujah dan perbalahan yang diberikan oleh netizen berkenaan isu ini di media sosial sama ada majlis tersebut dilakukan mengikut adat atau agama. Ini berpunca oleh pergerakan yang dilakukan oleh mereka seperti mengelilingi kitab suci agama Sikh dan menyembah sujud.
Walaubagaimanapun, seorang netizen yang beragama Sikh menjelaskan bahawa upacara yang dilakukan oleh pasangan tersebut merupakan upacara mengikut agama. “Maaf ya, perkahwinan ini ikut agama orang Sikh bukan adat. Bila dia sujud, dia terima living Guru sebagai pedoman dia. Dia tipu awak semua. Nama Kaur akan diberikan kalau dibaptis, bukan suka-suka dapat nama Kaur”.
Selain itu, seorang lagi netizen beragama Sikh menjelaskan dengan lebih mendalam bahawa apa yang dilakukan oleh pasangan itu merupakan upacara perkahwinan Sikh yang dinamakan Anand Karj. Pasangan perlu mengelilingi Guru Granth Sahib (kitab suci agama Sikh) sebanyak empat kali untuk menyempurnakan upacara. Mereka yang bakal menjalani upacara itu perlu dibaptis ke agama Sikh terlebih dahulu sebelum diadakan di dalam gurdwara.
Namun, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadot, berkata semua pihak harus menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra matang dalam mengulas isu itu.
Rentetan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri turut memberikan nasihat agar semua umat Islam di Malaysia tidak sewenang-wenangnya menghukum seseorang itu murtad hanya berdasarkan khabar angin.
Comments