top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

NETIZEN RISAU MUNCUL KLUSTER LANGKAWI

Wartawan: Fatin Roslee

Penyunting: Amelin Yazimi


Sumber: Astro Awani


KUALA LUMPUR, 9 Jun – Tular di media sosial sektor perhotelan di Langkawi pecah rekod menerima 1,000 tempahan daripada pelancong domestik sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan bermula 10 Jun ini mencetuskan kerisauan netizen.


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas beliau pada Ahad lalu memaklumkan, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan berakhir pada 9 Jun ini dan akan digantikan dengan PKPP bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020.

Lebih banyak kelonggaran akan diberikan semasa tempoh PKPP ini termasuk kebenaran merentas negeri, sukan-sukan tertentu, dan pelancongan dalam negara mengikut SOP yang ditetapkan.


Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir menyatakan bahawa perkembangan tersebut adalah seperti satu nafas baharu bagi industri pelancongan untuk bangkit semula selepas berbulan mengalami kemerosotan impak pandemik COVID-19 selain membantu ekonomi negara.

Perkembangan dalam sektor pelancongan ini mendapat pelbagai komen daripada rakyat, ada yang menyokong dan ada yang mengecam tindakan kerajaan.


Nadi Bangi memerhati komen di laman Twitter yang mengecam sambil menyindir golongan yang bercuti dengan mengatakan berkemungkinan akan wujud kluster Langkawi.


“Kita pecahkan rekod perhotelan sekarang, nanti selepas itu kita pecahkan rekod kes pula #COVID19 #Malaysiaboleh” komen sindiran daripada pengguna Twitter @Sudheepritch.


Salah seorang pengguna Twitter juga, @Pandaku49206951 memberi komen bahawa sebelum ini ramai yang riuh mengatakan tidak cukup duit, perniagaan terjejas, tidak mampu bayar hutang dan sebagainya, namun akhirnya ramai yang pergi melancong.


Namun, tidak kurang juga yang memberi komen positif membahas semula semua komen negatif mengenai tindakan golongan yang melancong secara domestik ini.


Seorang pekerja swasta, Danial Haziq, ketika sempat ditemu bual oleh Nadi Bangi berkata bahawa selain melancong dan menjana semula ekonomi negara, PKPP ini turut mengajar rakyat Malaysia untuk menjadi lebih berdisiplin untuk patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).


Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari turut berpendapat fokus utama perlu diberikan kepada usaha merancakkan kembali sektor pelancongan domestik.


“Usaha ini amat penting memandangkan masih wujud ketidakpastian di peringkat global mengenai wabak COVID-19 dan kerajaan perlu berhati-hati sebelum membuka semula pintu sempadan negara.”

14 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page