Nadi Bangi
Netizen Simpati Frontliner Temui Ajal Ketika Bertugas
Wartawan: Najwa Syuhadah
Penyunting: Aisyah Masri

BANGI, 28 No - Susulan berita seorang pemandu ambulans yang membawa pesakit Covid-19 disahkan meninggal dunia ketika bertugas telah mengundang rasa simpati dalam kalangan netizen.
Wartawan Nadi Bangi memetik komen yang ditinggalkan oleh netizen di Twitter menyatakan rasa sedih melihat perkhabaran tersebut serta mengatakan bahawa kebanyakan pemandu ambulans bukanlah daripada golongan muda berdasarkan pengalaman sendiri.
“Apa yang saya lihat dan saya pernah bekerja in a medical line, kebanyakan daripada pemandu ambulans bukan yang muda-muda. Kebanyakannya sudah berusia. Sedih tengok perkhabaran ini. Semoga ahli keluarga kuat. Al-Fatihah (dibaca),” ujar @hafizcuppycake.
Pemandu ambulans terbabit juga dikatakan baru selesai menjalankan tugasnya menghantar seorang pesakit Covid-19 ke sebuah hospital yang bertempat di Perak.
“Allahuakbar. Selepas dia hantar dia dah tak ada ya, Allah bantu dia selesaikan tugas dia. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan tergolong dari orang yang beriman Amin Al-Fatihah. Takziah keluarga arwah,” melalui komen @AmerahBokhari yang dipetik.
Rata-rata pengguna media mengucapkan takziah dan menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga Allahyarham menerusi komen yang ditinggalkan oleh mereka.
“Innalillah Al-Fatihah. Sedih sangat bila dapat tahu, pekerja barisan hadapan bekerja lebih masa sehingga memakan nyawa. Moga keluarga arwah diberikan bantuan yang secukupnya untuk mebayar jasanya,” Nadi Bangi memetik kenyataan komen daripada pengguna Twitter @TheFunSizeGuy.
Ada juga yang melahirkan pandangan bahawa pekerja-pekerja barisan hadapan sebenarnya layak mendapatkan yang terbaik kerana telah banyak berkorban untuk negara.
“This is why our frontliners deserves the best, more than any of us. They deserve everything. Berhempas-pulas dan kerja bermati-matian sehari demi sehari untuk negara dan kita semua. Mereka layak mendapatkan lebih daripada apa yang mereka miliki sekarang, lebih daripada kita semua,” kata @Nuyenggg.
Walau bagaimanapun, menurut salah seorang pengguna media yang mendakwa abang saudaranya bekerja di tempat kejadian berkata pemandu ambulans tersebut meninggal disebabkan penyakit asma yang dihidapinya.
“Sebenarnya, arwah meninggal sebab asthma. Dia baru lepas hantar pesakit Covid di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh sedang membasuh ambulans, tidak sempat mengambil alat bantuan pernafasannya, beliau terus rebah. Abang saudara saya kerja di situ maklumkan. Semoga Allah tempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” ujar @nasein di ruangan komen Twitter.
Pemandu ambulans tersebut yang membawa pesakit Covid-19 disahkan meninggal di Kuala Kangsar, Tronoh selepas pengsan dan didakwa akibat terlalu penat bertugas seharian.
Menurut sumber Bernama, Ketua Pengarah Kesihatan iaitu Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp berkata beberapa saringan yang dijalankan ke atas Allahyarham terbukti negatif sebelumnya.
“Pesakit (pemandu ambulans) mempunyai sejarah penyakit lain yang sedang dalam rawatan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih lagi menjalankan siasatan berhubung punca kematian sebenar. Yang pastinya ada penyakit lain,” kata beliau lagi.
Namun Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah enggan mengulas lebih lanjut semasa ditanya berhubung perkara tersebut menurut sumber.