Oleh: As Nurul ‘Ainaa Awanudin
Penyunting: Shirly Low Shi Li
Sumber: Twitter
BANGI, 12 Jan - Netizen terhibur dengan kerenah wanita Amerika Syarikat, Rachel Kumaar yang diuji oleh suaminya, Logesh Kumaar yang kelahiran Malaysia untuk membeli barang keperluan yang ditulis dalam bahasa Malaysia.
Logesh Kumaar, 33, telah berpindah ke Amerika Syarikat pada 10 tahun lalu untuk melanjutkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Pengurusan Projek di Universiti Devy, Illinios, Amerika Syarikat. Pemuda asal Klang ini berkenalan dengan Rachel, 30, pada tahun 2012 di sebuah acara di gereja. Mereka kemudiannya mendirikan rumah tangga pada bulan Jun 2014 dan melahirkan dua cahaya mata iaitu Zadeen Kumaar, 2, dan Kryren Kumaar, 5 bulan.
Logesh telah memuat naik sebuah video yang berdurasi 22 minit 30 saat yang memaparkan Rachel yang diuji untuk membeli barang keperluan yang disenaraikan oleh Logesh. Tujuan ujian yang dijalankan oleh suaminya adalah untuk memantapkan bahasa kebangsaan Malaysia Rachel itu.
Terdapat adegan dalam video tersebut yang mencuit hati ramai orang di mana Rachel salah menyebut bawang merah kepada ‘burung merah’. Adegan tersebut amat menghiburkan rakyat Malaysia serta memuji semangat percubaan Rachel dalam mempelajari bahasa Malaysia dalam video tersebut.
Menurut netizen Youtube yang bernama Zeti Alia, beliau amat menghargai percubaan serta usaha Rachel dalam mempelajari bahasa Malaysia.
“Comelll sgttt Rachel. Suka tengok. Appreciate her effort in learning Malay Language”
Victor Peter membuat komen di Youtube yang berbentuk jenaka tentang telatah Rachel yang salah menyebut bawang merah kepada ‘burung merah’ untuk dijadikan sebagai penggunaan kata seharian Rachel apabila pasangan suami isteri pulang ke Malaysia suatu hari nanti.
“Burung Merah...That'd be Rachel's signature coming to Msia... Word of the month!”
Selepas video itu dimuat naik di Youtube, ramai netizen tempatan memuji usaha Logesh di laman media sosial Twitter kerana mengajar isteri dan anaknya bertutur dalam bahasa Malaysia walaupun berada di Amerika Syarikat.
Menurut pemilik akaun Twitter Hairul Hafizie, beliau amat bangga dengan jati diri Logesh Kumaar yang kuat sebagai seorang warganegara Malaysia serta sanggup mengajar keluarga dalam memperkenalkan budaya Malaysia dan bahasa kebangsaan yang ditutur oleh rakyat Malaysia pada setiap hari.
“Tahniah kumar. Anda salah seorang rakyat yang mempunyai jati diri yang teguh..teruskan berbahasa melayu walau dimana anda berada”
Selain itu, pemilik akaun Twitter Sabrina Johar memuji Logesh Kumaar yang merupakan rakyat Malaysia yang bukan bumiputera tetapi masih mengekalkan identiti negaranya serta membandingkan orang Melayu yang lama menetap di luar negara yang sudah kehilangan identiti dan jati diri mereka.
“baguslah bro ! indian tapi gigih nak ajar wife cakap melayu. kalau orang melayu confirm speaking je pastu balik malaysia dah tak reti cakap melayu”
Logesh menyarankan rakyat Malaysia agar berbual dengan Rachel dengan bahasa Malaysia untuk membantunya dalam memperkasakan bahasa kebangsaan Malaysia apabila mereka pulang ke tanah air suatu hari nanti.
“Bila kami balik Malaysia nanti, kalau korang jumpa kami, tolonglah cuba bercakap Bahasa Melayu dengan Rachel ya”.
Logesh banyak memuat naik video yang memaparkan kebudayaan Malaysia untuk diperkenalkan kepada keluarga dan rakan-rakannya di Amerika Syarikat. Antara video yang dimuat naik itu adalah video berbentuk reaksi dalam mencuba makanan Malaysia, video berbentuk reaksi tentang pandemik coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia dan sebagainya.
Comments