top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

NGO Bantu Ringankan Beban Pelajar Di Kampus Ketika PKP

Oleh: Kishan Selvaraju

Penyunting: Keziah Shamma Mahendran


Sumber: Instagram @ntkmalaysiasepam


PETALING JAYA, 11 Jun - Badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Senthamizhar Peravai Malaysia (SEPAM) menawarkan bantuan untuk meringankan beban pelajar yang menduduki kampus ketika musim PKP ini dengan mengedarkan bekalan barangan keperluan seperti makanan kering dan lain-lain lagi kepada mahasiswa dan mahasiswi yang memerlukannya.


Menurut penyelaras SEPAM, Theeyagu Loganaden, ini merupakan kali pertama pertubuhan ini menawarkan bantuan kepada mahasiswa dan mahasiswi di kampus. Sebelum ini, SEPAM banyak membantu golongan B40 dengan memberikan bekalan makanan. Oleh hal yang demikian, kali ini, SEPAM lebih memfokuskan kepada para pelajar pula yang serba kekurangan di kampus, terutamanya apabila PKP telah diumumkan baru-baru ini yang menyusahkan lagi golongan ini.


“Kami memilih untuk menyediakan bantuan dalam bentuk bekalan makanan kering kerana ia dapat tahan lama dan tidak mudah rosak manakala bantuan kewangan yang secukupnya juga disediakan kepada pelajar yang memerlukannya” kata penyelaras SEPAM tersebut.


Dana untuk membeli bekalan makanan serta memberikan bantuan kewangan oleh Pertubuhan SEPAM dibiayai sepenuhnya oleh ahli-ahli SEPAM dan NGO yang lain. SEPAM juga turut bekerjasama dengan NGO daripada negeri-negeri lain untuk membantu menghantar bantuan bekalan makanan ke lokasi yang berjauhan dalam masa yang singkat untuk membantu pelajar yang memerlukan.


“Kami menghulurkan bantuan ini kepada semua mahasiswa dan mahasiswi berbangsa India yang malangnya tersekat di universiti dan institusi pendidikan di seluruh negara tanpa hanya memilih beberapa institusi pengajian sahaja, kerana kesihatan dan keperluan semua mahasiswa adalah penting dan perlu diberi layanan yang sama rata. Namun begitu, pada masa ini, kami hanya mampu memfokuskan kepada mahasiswa dan mahasiswi yang berbangsa India sahaja kerana dana kami yang sangat terhad. Sekiranya kami berjaya mendapatkan dana yang secukupnya, kami akan mengambil langkah untuk membantu setiap pelajar yang menghadapi masalah yang sama.” jelas penyelaras SEPAM, Theeyagu Loganaden.


Setakat ini, SEPAM telah berjaya menghantar bekalan makanan kepada lapan universiti di Malaysia. Antaranya, Universiti Malaya (UM) (Kuala Lumpur), Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Adventist (ACNHS), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (Cheras), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Sains Malaysia (USM), serta Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).


Menurut seorang penerima bantuan yang sempat ditemubual oleh wartawan Nadi Bangi, Kashvin A/L Jeeva, 21 daripada Universiti Sains Malaysia (USM), bantuan yang disediakan oleh SEPAM sangat membantu kepada mahasiswa yang berada di kampus kerana mereka tidak dibenarkan untuk keluar daripada kawasan kampus sepanjang tempoh PKP ini dijalankan. “Jika kita sering bergantung kepada servis penghantaran bagi memesan barangan keperluan daripada luar, ia sememangnya amat membebankan dari segi kewangan.” katanya lagi.


Menurut seorang lagi penerima bantuan daripada Universiti Malaya (UM), Praveena A/P Murugan, 20, “SEPAM membekalkan makanan kering seperti biskut, makanan segera, makanan ringan dan sebagainya dalam kuantiti yang mencukupi yang sememangnya sangat membantu terutamanya apabila pelajar terperap di dalam kampus. Dengan adanya bantuan ini, saya tidak lagi perlu risau akan kekurangan bekalan makanan sepanjang tempoh PKP ini dijalankan.”


Penyelaras SEPAM, Theeyagu Loganaden, menyeru kepada sesiapa yang mengenali ataupun mengetahui mana-mana mahasiswa yang memerlukan bantuan untuk menghubungi beliau melalui talian 016-6285288 bagi mendapatkan bantuan serta sumbangan yang mampu membantu meringankan beban mereka, terutamanya ketika musim PKP ini.

193 views0 comments

Opmerkingen

Beoordeeld met 0 uit 5 sterren.
Nog geen beoordelingen

Voeg een beoordeling toe
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page