Oleh: Siti Nurhazira Binti Abu Bakar
Editor: Nur Nadzra Natasha Binti Zulkifli
BANGI, 29 September 2019: Nur Batrisyia Hanani, 19 tahun, pelajar Fakulti Undang Undang telah dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Pusingan dan Pendebat Terbaik Liga menerusi Pertandingan Debat Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berlangsung di Persada Canselori pada Ahad lalu.
Pertandingan Debat Naib Canselor menyaksikan para peserta mengetengahkan dan mempertahankan hujah-hujah mereka tersendiri. Pentas akhir pertandingan debat ini membariskan pasukan Kolej Pendeta Zaaba (B) sebagai kerajaan dan pasukan Kolej Pendeta Zaaba (C) sebagai pihak pembangkang.
Beliau yang mewakili pihak pembangkang sebagai ketua pembangkang berjaya memikat hati juri menerusi usul perdebatan “Kebolehpasaran Graduan: Pengguguran Kursus di Universiti Awam Bukan Jawapannya” sekali gus membantu pasukannya bergelar johan pertandingan tersebut.
Menurutnya, beliau hanya bertekad untuk memastikan perdebatan berjalan dengan lancar dan dihabiskan dengan baik namun tidak menyangka akan diangkat sebagai pendebat terbaik.
“Saya sebenarnya telah menceburkan diri dalam perbahasan sejak tingkatan satu lagi. Oleh itu, saya berasa sebak dan sangat gembira kerana ini merupakan pentas akhir pertama saya sepanjang enam tahun melibatkan diri dalam arena perdebatan.
“Alhamdulillah segala usaha keras kami telah membuahkan hasil pada malam ini. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang banyak memberikan bimbingan dan bantuan terutamanya rakan-rakan serta ibu dan ayah yang menjadi tulang belakang kejayaan saya,” katanya ketika ditemui pada malam Ahad lalu.
Selain Nur Batrisyia, pihak pembangkang telah dibarisi oleh Robiatul Adawiyah, 19 dan Sharifah Umairah, 18.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim berkata, pertandingan debat sangat signifikan dengan keperluan mahasiswa pada masa kini. Budaya debat juga merupakan sebuah budaya yang wajar dikembangkan dalam kalangan mahasiswa bagi mengasah keberanian berucap dan berkomunikasi di khalayak ramai.
“Ia mampu mendidik mahasiswa menjadi bakal graduan yang lebih peka terhadap isu semasa dan produktif dalam mencari isu penyelesaian. Saya berharap dengan asuhan sebegini, negara akan dapat melahirkan lebih ramai bakal-bakal pemimpin yang berwibawa,” katanya ketika merasmikan majlis di Persada Canselori.
Nur Batrisyia membawa pulang wang tunai sebanyak RM100, piala pusingan, piala iringan dan beg tangan Christy Ng bernilai RM199.
Turut hadir, Timbalan Pengarah (Pembangunan) Pusat Hal Ehwal Pelajar, Dr. Noor Alaudin Abdul Wahab.
Comments