top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Obesiti Di Malaysia Pada Tahap Membimbangkan

Oleh: Dina Farhana Hussain

Penyunting: Mazidatul Husna


Sumber: Google









Obesiti merupakan antara masalah kesihatan yang berada di tahap membimbangkan. Kebanyakan rakyat Malaysia pada hari ini mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti. Masalah obesiti berlaku oleh kerana banyak faktor. Statistik tinjuan menunjukkan pada tahun 2015, hampir separuh orang dewasa di Malaysia mempunyai tahap kolestrol tinggi iaitu sebanyak 47.7 peratus. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati obesiti kanak-kanak meningkat pada kadar yang sangat membimbangkan apabila rekod menunjukkan jumlah kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan di bawah usia lima tahun adalah melebihi 41 juta orang pada tahun 2016.


Apa Itu Obesiti?


Menurut portal rasmi MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia, obesiti adalah satu keadaan yang kompleks di mana seseorang individu itu mempunyai lemak berlebihan. Ia merupakan penyakit kronik yang memerlukan rawatan susulan berpanjangan, terapi dan perhatian yang wajar oleh pengamal perubatan. Selain daripada orang dewasa, kanak-kanak juga turut menjadi mangsa obesiti.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan dalam portal Sinar Harian, berat badan berlebihan dan obesiti merupakan faktor risiko utama yang sering dikaitkan dengan penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit kardiovaskular.


Faktor Obesiti


Antara faktor yang mempengaruhi obesiti ialah peringkat umur, jantina, keturunan, aktiviti fizikal, psikologi, penyakit, ubat-ubatan dan banyak lagi. Faktor umur bermaksud apabila seseorang itu meningkat umurnya akan menyebabkan kadar metabolismanya menurun. Jika kadar metabolismanya menurun maka akan berlakulah peningkatan berat badan yang ketara walaupun tiada sebarang penambahan atau pertukaran dalam tabiat pemakanan dari segi aspek jenis makanan, kekerapan makan serta jumlah makanan yang di ambil.


Faktor jantina pula ialah kerana kaum wanita mempunyai peluang yang tinggi untuk memperolehi masalah berat badan berlebihan atau obesiti. Ini kerana kadar metabolisma bagi wanita lebih rendah jika dibandingkan dengan kaum lelaki. Masalah berat badan berlebihan atau obesiti ini lebih meningkat lagi terutamanya bagi kaum wanita yang telah mencapai tahap menopause. Keturunan juga turut menjadi faktor terjadinya masalah berat badan berlebihan atau obesiti. Jika ianya bermula daripada ibu atau ayah, ianya berkemungkinan akan menurun kepada anak-anak atau salah seorang daripada ahli keluarga seterusnya menurun kepada cucu dan sebagainya. Faktor keturunan ini tidak dapat dielakkan melainkan seseorang itu berusaha untuk menjaga makan, melakukan pelbagai aktiviti yang boleh menurunkan berat badan dan sebagainya. Jika aktiviti fizikal seperti berbasikal, jogging, senaman ringan dan sebagainya jika jarang dilakukan pasti mengundang kepada masalah berat badan berlebihan atau obesiti juga.


Selain itu, faktor psikologi juga turut menjadi penyebab berat badan berlebihan atau obesiti. Ini kerana kebanyakan individu akan makan berlebihan atau tidak berhenti makan apabila mereka mengalami gangguan emosi, ketidakstabilan emosi, tekanan dan sebagainya yang melibatkan emosi seseorang. Penyakit merupakan salah satu antara faktor yang mengundang kepada masalah berat badan berlebihan atau obesiti. Penyakit seperti hypothyroidism atau tiroid, kemurungan dan penyakit dibahagian otak boleh menyebabkan seseorang itu makan berlebihan atau makan tanpa henti. Begitu juga dengan ubat-ubatan yang mengandungi steroid mempunyai peluang sangat tinggi menyumbang seseorang itu mendapat masalah berat badan berlebihan atau obesiti.


Menurut Dr. Hanis Mastura Yahya, pakar pengambilan makanan dan fungsi kognitif dan analisis polifenol dalam makanan, Fakulti Sains Makanan Universiti Kebangsaan Malaysia, berlaku peningkatan dalam masalah berat badan berlebihan atau obesiti. Satu kajian telah dikeluarkan menyatakan bahawa golongan dewasa di Malaysia merupakan yang tergemuk atau obesiti jika dibandingkan dengan golongan dewasa di negara Asia Tenggara yang lain. Ini tidak menjadi hairan lagi kerana terdapat banyak kajian yang telah dilakukan menunjukkan Malaysia merupakan negara yang menghadapi masalah obesiti paling tinggi.


Ramuan yang terdapat dalam makanan merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah berat badan berlebihan atau obesiti. Menurutnya lagi, banyakkan mengambil makanan segar seperti sayur-sayuran, protein dan sebagainya daripada mengambil makanan proses seperti makanan yang telah disiap sedia untuk dimakan contohnya makanan dalam tin yang hanya dipanaskan sahaja dan terus boleh makan. Ini kerana makanan yang telah diproses itu mengandungi glucose atau gula yang tinggi serta lemak.


Makanan yang berlemak, berminyak, fastfood atau makanan segera seperti McDonald, KFC, Texas Chicken dan sebagainya adalah penyumbang utama berlakunya masalah berat badan berlebihan atau obesiti. Jika dapat diperhatikan, masyarakat hari ini lebih banyak duduk dan berada ditempat yang sejuk apabila melakukan sesuatu tugasan. Apabila duduk dan berada ditempat yang sejuk, ianya mengundang kepada rasa lapar dan sentiasa ingin makan. Mereka duduk dan makan sambil melakukan tugasan juga boleh menyebabkan berlakunya masalah berat badan berlebihan atau obesiti kerana mereka tidak berjalan dan menyebabkan lemak-lemak terkumpul seterusnya menjurus kepada obesiti.


Cara Menangani Obesiti


Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan bagi mengurangkan masalah berat badan berlebihan atau obesiti. Tetapi ianya bergantung kepada seseorang itu untuk merawatnya atau membiarkan. Menurut pakar pengambilan makanan ini lagi, obesiti ini tidak berlaku dalam sekelip mata, tetapi ianya makan masa sekurang-kurangnya sebulan ataupun setahun. Nasihat beliau dalam hal ini ialah agar mengurangkan pengambilan fastfood, kurangkan makan dikedai makan kerana terdapat kandungan garam, lemak dan gula yang sangat tinggi dalam setiap sajian yang dihidangkan itu. Selain itu, beliau menasihati agar melakukan aktiviti fizikal yang lain seperti banyakkan berjalan kaki, berjalan dengan laju, memanjat tangga dan sebagainya.


Pengambilan buah dan sayuran amat penting dalam hal ini kerana ianya kaya dengan pelbagai vitamin dan nutrient. Menurutnya lagi, generasi zaman sekarang hendaklah mengurangkan screen time atau meluangkan masa melihat pada gadget kerana ianya bukan aktiviti fizikal. Melakukan aktiviti fizikal seperti jogging, senaman ringan, melakukan aktiviti riadah dan sebagainya amat penting dalam hidup dan ianya juga untuk stamina seseorang.

Ketua Perkhidmatan Dietetik dan Pakar Dietetik Klinik, Rozanna M.Rosly menyatakan dalam Bernama.com, bahawa ibu bapa dan penjaga perlu memainkan peranan aktif dalam usaha mengawal obesiti anak-anak sebagai langkah pencegahan dan pengurusan. Selain itu, anak-anak perlu dididik dalam mengenali makanan yang perlu mereka makan dalam hidangan utama dan snek. Beliau turut mencadangkan penggunaan pinggan ‘suku-suku separuh’ bagi mendidik anak-anak mengenali bahagian makanan yang boleh diambil semasa hidangan utama dan cawan ukuran untuk snek dan minuman.


Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam portal Sinar Harian, gaya hidup sihat adalah langkah pencegahan terbaik penyakit tidak berjangkit yang kian meningkat di Malaysia. Beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk meluangkan lebih banyak masa secara berterusan untuk menjalani gaya hidup sihat khususnya bersenam.

452 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page