top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

OKU Menjana Pendapatan Melalui Gincu Madu Kelulut

Oleh: Siti Norasikin Binti Ariffin

Penyunting: Vanisri a/p Ravi



Siapa sangka keputusan untuk berhenti daripada pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Matematik) pada saat akhir telah membuka satu lembaran kehidupan yang baharu buat si gadis comel bernama Gazlia Umat. Beliau bangkit dengan mengusahakan perniagaan menjual gincu bibir berasaskan sumber semulajadi, madu kelulut. Apabila penulis bertanya bagaimana mulanya tercetus idea perniagaan tersebut, beliau berkata, “Bermula dengan perkhabaran daripada kawan kakak yang merupakan pekerja Standard and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM) yang sedang mencari seseorang yang ingin memasarkan produk hasil penyelidikan terbaru iaitu gincu madu kelulut. Kemudian, abang saya mengsyorkan untuk kami mencubanya dan ternyata produk tersebut sangat unik dan masih belum ada yang keluarkannya. Selepas sebulan mencuba, saya mengambil keputusan untuk menggambil bekalan daripada SIRIM dan dijadikan perniagaan saya sendiri”. Maka, beliau dan abangnya, Ezamudin Umat yang juga seorang OKU mula merancang perniagaan mereka.


Spinal Muscular Atrophy Type 2


Gazlia Umat berumur 30 tahun merupakan seorang yang dianugerahkan kebijaksanaan yang tinggi. Manakan tidak, beliau memperoleh pencapaian yang cemerlang menerusi Penilaian Menengah Rendah (8A), Sijil Pelajaran Malaysia (8A1 2A2), dan melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sains Matematik kemudian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang yang sama. Namun, setiap kejayaan pasti akan ada ujiannya. Beliau yang dilahirkan secara normal disahkan menghidapi Spinal Muscular Atrophy Type 2 iaitu sejenis penyakit genetik saraf motor neuron yang melemahkan otot-otot pada usia satu tahun dan ketika itu keluarganya menyedari apabila cara beliau berjalan berbeza daripada kanak-kanak yang lain. Selain daripada beliau, kakak dan abangnya menghidapi penyakit yang sama. Akan tetapi, kelemahan itu bukanlah satu alasan untuk beliau menggapai impian seperti insan yang lain.

Keistimewaan Gincu Madu Kelulut


Menggunakan bahan-bahan semulajadi iaitu madu kelulut asli, minyak bunga matahari dan minyak kastor yang merupakan antara bahan utama semestinya mempunyai khasiat tersendiri. Kaya dengan vitamin E, ianya membantu merawat bibir yang kering dan merekah dan seterusnya melembabkan bibir si pemakai. Selain itu, gincu madu kelulut mengikut Ph kulit dimana warna-warna yang dihasilkan apabila dioles pada bibir adalah berbeza. Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) daripada SIRIM ini sangat berkualiti dan mempunyai potensi untuk dipasarkan ke luar negara. Setakat ini, beliau berkata sudah 400 unit telah dijual dan dalam tempoh seminggu, 50 unit terjual. Kejayaan ini menguatkan lagi usaha beliau apabila perniagaannya sudah didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dengan nama Keluarga Umat Enterprise.


Perancangan Masa Hadapan


Usaha beliau dalam perniagaan kini membuahkan hasil apabila produk tersebut dalam proses untuk mendapatkan pembungkusan dan jenama yang beliau pilih sendiri. Beliau dan abangnya sangat memberi tumpuan penuh bagi memastikan perniagaan mereka lancar seterusnya menghasilkan pendapatan yang lumayan. Beliau berhasrat untuk menyebarluaskan lagi sayap peniagaan dengan mempelbagaikan produk dan menvariasikan bidang perniagaan. Beliau juga menggunakan segala kepakaran dan ilmu dalam bidang matematik dengan menjadi seorang guru tutor sambilan agar ilmu tersebut tidak hilang. Sungguh insan ini boleh dijadikan inspirasi dan pemyumbang semangat buat semua lapisan masyarakat di luar sana.



929 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page