top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

OKU Raih Pendapatan Berniaga Kerepek, Biskut dan Pelitup Muka

Updated: May 29, 2021

Oleh: Haziq Johan

Penyunting: Anis Natasya


Sumber: Facebook Daniel Cheng


KUALA LUMPUR, 24 Mei- Status orang kelainan upaya (OKU) bukan penghalang bagi Daniel Cheng berusia 30 tahun yang menghidap Cerebral Palsy (CP) sejak lahir untuk berusaha dan berdikari bagi meraih pendapatan sendiri melalui penjualan biskut, kerepek dan pelitup muka.


Hidup sebagai yatim piatu sejak berusia 5 tahun, dia yang kini menetap di Puchong tidak keseorangan dan turut dibantu oleh rakan-rakannya terutama daripada segi kewangan dan tenaga bagi memperoleh dan menguruskan produk jualan.


Melalui kemudahan dan kecanggihan teknologi pada masa ini, Daniel menggunakan platform media sosial Facebook sepenuhnya bagi mempromosi barangan jualan secara atas talian.


Perniagaan atas talian yang dijalankan ini dimulakan sejak tiga minggu yang lalu, namun sambutan yang diterima tidak begitu menggalakkan kerana kurang dikenali. Walaubagaimanapun, pesanan melalui aplikasi Whatsapp mula meningkat sejak dua hari yang lepas selepas salah seorang pengguna media sosial berkongsi tentang perniagaan yang dijalankan oleh Daniel di Twitter. Menurutnya, dia berasa terkejut kerana tidak mengetahui bahawa dirinya dan perniagaan yang dijalankan telah tular dan meraih perhatian hangat daripada netizen.


“Sejak dua hari yang lepas, saya menerima lebih daripada seribu pesanan di Whatsapp di mana sebelum ini tidak pernah lagi terjadi. Selain pelanggan bertanya tentang produk, ada juga yang menghulurkan bantuan kewangan dan memberi kata kata semangat buat saya.”


Sebelum menjalankan perniagaan, Daniel bekerja sebagai pemasar digital di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. Namun kini dia memilih untuk beralih ke arah perniagaan kerana mempunyai minat sejak dahulu lagi dalam bidang ini. Memikirkan tentang kos sara hidup yang perlu ditanggungnya sendiri, dia terus cekal dan berdikari bagi mendapatkan pendapatan walau dengan pelbagai cara sekalipun.


Disoal pula tentang cabaran yang terpaksa dihadapi terutama semasa pandemik, Daniel menyatakan bahawa hidupnya sejak dahulu lagi penuh dengan liku yang harus diteruskan sebagai warga (OKU).


“Pandemik atau pun tidak, kehidupan saya memang penuh dengan cabaran kerana keadaan diri saya yang tidak mampu untuk melakukan banyak perkara secara sendirian. Saya terpaksa berpaut kepada bantuan rakan-rakan terutama bagi menjalankan urusan harian.”


“Saya juga pernah ditegur supaya duduk sahaja di rumah, namun hidup saya bukan mudah kerana jika bukan atas usaha saya untuk bekerja takkan hanya mahu mengharapkan bantuan orang lain sahaja.”


Mempunyai persekitaran positif menjadi kunci utama kepada Daniel untuk terus bersemangat dalam melakukan banyak perkara. Rakan-rakan yang baik dan boleh dipercayai memudahkannya untuk berkongsi masalah dan luahan bagi mengurangkan tekanan dan bebanan hidup. Menurutnya lagi, perkara paling penting adalah sentiasa berusaha dan tidak pernah sesekali berputus asa sebelum mencapai sesebuah kejayaan.


856 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page