top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

OnlyFans Raih 500,000 Pengguna Baharu Setiap Hari

Oleh: Saeid Juwanda

Penyunting: Arif Zahran


Sumber : Instagram OnlyFans


BANGI, 5 Jan – Platform perkhidmatan langganan kandungan digital OnlyFans kini meraih 500,000 pengguna baharu setiap hari, susulan sifat ingin tahu khalayak terhadap platform tersebut dan sambutan baik yang diberikan oleh pengguna.


Pengasas Syarikat dan Ketua Pegawai Eksekutif laman sosial OnlyFans, Tim Stokely, menyatakan bahawa platformnya meraih 500,000 pengguna baharu setiap hari dan telah membayar lebih daripada 200 juta AS Dollar kepada pembekal kandungan setiap bulan setakat ini.


Perkhidmatan langganan kandungan digital daripada Britain itu membolehkan pembekal kandungan untuk menjana pendapatan daripada pengguna dengan menjual kandungan eksklusif yang tidak boleh diperolehi di platform yang lain termasuk kandungan-kandungan yang lucah.


Ciri kandungan pay-per-view disamping langganan bulanan membuatkan pilihan kandungan lebih fleksibel dan beraneka kerana hanya pengguna yang sudah membuat bayaran sahaja yang boleh melihat kandungan yang dihasilkan oleh pembekal kandungan pilihan mereka.

Gara-gara kawalan pergerakan yang disebabkan oleh wabak Covid-19 di seluruh dunia pada tahun 2020, OnlyFans melaporkan sambutan yang memberangsangkan di kalangan pembekal kandungan platform tersebut dan berlakunya peningkatan akaun pengguna baharu sebanyak 42 peratus.


Kini, platform yang lebih terkenal sebagai ikon pembekal kandungan lucah homemade itu, dilaporkan mempunyai lebih daripada 85 juta pengguna dan 1 juta pembekal kandungan yang dijangka akan menjana jualan keseluruhan sebanyak 2 bilion AS Dollar bagi tahun 2020 menurut Stokely.


Pensyarah dari Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Hasrul Hashim, memberikan pandangannya berkenaan peningkatan pengguna di platform ini.


“Platform ini merupakan suatu perkara baharu yang menawarkan kandungan berbeza daripada media sosial yang sedia ada. Pengguna yang inginkan kelainan lebih mudah tertarik untuk menggunakan platform ini berbanding media sosial yang sering mereka gunakan,


“Pada pandangan saya, antara faktor yang boleh mempengaruhi peningkatan pengguna platform ini adalah penglibatan sosial di antara pengguna dan juga pembekal kandungan. Sekarang, banyak artis-artis popular yang menjadi pembekal kandungan di platform ini dan pengguna berkemungkinan besar merasakan diri mereka lebih dekat apabila mereka antara kalangan yang boleh berinteraksi dan melihat aktiviti tertutup artis pilihan mereka,” katanya.


Tambahnya lagi, teknologi yang semakin maju membolehkan rakyat masa kini memperolehi sumber hiburan serta maklumat daripada internet dan media sosial. Perkara ini sekaligus mendorong penggunaan pelantar-pelantar media sosial di internet lebih-lebih lagi golongan muda yang kurang menonton televisyen.


Walau bagaimanapun, Qayyum Sawal, seorang usahawan kecil, menyatakan bahawa persepsi khalayak terhadap platform ini lebih cenderung kepada kandungan lucah yang eksklusif. Khalayak yang bersifat ingin tahu akan terjerumus apabila kandungan lucah seseorang yang terkenal ditawarkan di platform tersebut sekaligus menyumbang kepada peningkatan pengguna.


“Mula- mula orang rasa ingin tahu, kemudian mereka akan menelaah dan menjelajah dengan lebih mendalam di platform ni gara-gara kandungan lucah orang terkenal yang tidak ada dekat tempat lain. Lama-kelamaan, mereka semakin kerap menggunakannya kerana sudah tahu kelebihan OnlyFans ini,” kata Qayyum.


Nadi Bangi turut mendapatkan pandangan seorang mahasiswa Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI), Zulfikri Muhammad, berkenaan isu ini. Menurut Zulfikri, sifat ingin tahu akan perkara yang tidak mudah untuk didapati menjadi punca utama peningkatan pengguna platform tersebut.


“Platform ini menawarkan perkara yang kita tidak nampak, jadi benda yang tersorok itu yang kita ingin tahu. Sifat pembekal kandungan yang sentiasa menawarkan kandungan baharu yang lebih berkualiti untuk menjana pendapatan mereka, secara tidak lansung memberi galakkan kepada pengguna untuk menggunakan platform tersebut,” katanya.


Pelajar tahun tiga jurusan kejuruteraan elektrik itu turut menyatakan bahawa dirinya juga hampir menjadi pengguna aktif platform tersebut kerana harga yang ditawarkan mampu dimiliki.

616 views0 comments

Comentarios

Obtuvo 0 de 5 estrellas.
Aún no hay calificaciones

Agrega una calificación
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page