top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

PADU Jamin 7 Manfaat Buat Rakyat

Penulis : Ahmad Idham Bin Ahmad Hamzah

Penyunting: Misha Mysarra Abdul Karim


Sumber : website PADU

 

Objektif PADU adalah menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data serta mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.


Matlamat PADU pula adalah untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, melaksanakan pengukuhan dalam penggunaan sumber yang terhad, melaksanakan pemerkasaan sistem sosial melalui peningkatan kesejahteraan ekonomi dan rakyat serta merapatkan jurang sosioekonomi dengan memenuhi keperluan rakyat dan mengimbangi pembangunan.


Jika dilihat, pelbagai inisiatif diberikan kerajaan sejak dahulu lagi tanpa mengira latar belakang sosioekonomi, antaranya subsidi dinikmati semua masyarakat. Kita tidak mahu melihat apabila penyaluran inisiatif tidak mengikut konsep kesaksamaan, dikhuatiri jurang sosioekonomi rakyat makin melebar.


Dalam konteks ini, inisiatif seperti subsidi sepatutnya diberikan keutamaan kepada mereka yang layak terutama dalam kalangan B40 dan M40, manakala golongan T20 juga berhak menikmati pemberian memandangkan menjadi pembayar cukai.


Justeru, kerajaan memperkenalkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bertujuan mengumpul profil individu dan isi rumah. Sistem ini mengintegrasi pelbagai sumber dan dikemas kini berkala.


Pada awal pengenalan sistem, ia mendapat pelbagai reaksi dan maklum balas, antaranya isu keselamatan dan integrasi data, selain akauntabiliti dan etika individu. Ini menuntut pihak berwajib melihat kembali sistem ini apakah ia sesuai digunakan selagi mana isu berkenaan tidak diselesaikan segera.


Walaupun PADU mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai lapisan masyarakat, ia dapat dilihat sebagai langkah perlu untuk memastikan insentif kerajaan terutama subsidi dapat disalurkan kepada individu benar-benar layak dan memerlukan.


Kita tidak mahu melihat lagi pelbagai isu ketirisan kewangan kerajaan hingga isu ketidakadilan dalam pengagihan sumber kewangan berlaku secara ketara. Pada masa sama, ia juga mungkin dapat membantu dalam menyelesaikan isu rasuah semakin meruncing ketika ini.


PADU mempunyai tujuh manfaat utama.


Pertama, PADU akan menambah baik pengurusan bantuan dan subsidi secara bersasar, termasuk pelaksanaan subsidi ke atas petrol, diesel, elektrik dan tol.


PADU akan dijadikan sebagai sumber rujukan berpusat dan bertujuan menentukan kumpulan sasar benar-benar layak menerima bantuan dan subsidi serta mengurangkan ralat kemasukan (inclusion) dan pengecualian (exclusion), sekali gus meminimumkan keciciran dan ketidaktepatan kumpulan sasar.


Kedua, PADU akan memantapkan pengurusan bencana dan krisis.


Menerusi PADU, lokasi dan profil individu terkesan akibat bencana dapat dikenal pasti dan dianalisis dengan lebih tepat serta terperinci seterusnya membantu penyaluran bantuan lebih cekap. Amalan terbaik Korea Selatan menangani krisis COVID-19 adalah satu inspirasi boleh diambil contoh kerajaan. Penggunaan teknologi dan data inovatif membolehkan mereka mempercepat pengesanan, pemantauan dan pengurusan krisis.


Ketiga, PADU mampu menangani isu ketidaksepadanan pekerjaan dan pendidikan.


Dengan menyemak, mengemas kini dan mengisi maklumat di Portal PADU, maklumat seperti Pendapatan, Pendidikan, Pekerjaan dan Geografi akan menjadi input analisis kerajaan bagi mengenal pasti individu mengalami isu ketidaksepadanan pekerjaan meliputi ketidaksepadanan menegak (tahap pendidikan), melintang (ketidakpadanan kursus/ bidang dengan pekerjaan) dan geografi (lokasi negeri / daerah/ mukim).

Maklumat ini akan digunakan dalam pembentukan dasar sumber manusia dan program intervensi pasaran buruh lebih efisien, seiring dengan kerangka Ekonomi MADANI.


Keempat, PADU mempersiapkan negara bagi menghadapi penduduk menua.


Malaysia kini berada pada peringkat masyarakat menua dengan 7.4 peratus adalah penduduk menua. PADU dapat membantu dalam membentuk dasar kependudukan optimum dari segi keselamatan sosial dan pencen, merancang perkhidmatan penjagaan kesihatan bersesuaian dengan keperluan, seterusnya mencipta program atau latihan meningkatkan kemahiran pekerja sekali gus dapat meningkatkan pembabitan warga emas dalam pasaran buruh.


Kelima, PADU dapat menjadi input bagi mengenal pasti dan mengatasi kesenjangan jaringan perlindungan sosial masyarakat.


Berbanding dengan 16.3 juta penduduk bekerja, statistik menunjukkan lebih 40 peratus penduduk bekerja Malaysia tidak dilindungi daripada sebarang musibah pekerjaan. Begitu juga isu ketidakcukupan simpanan wang persaraan berada pada tahap serius apabila 6.3 juta ahli di bawah usia 55 tahun yang juga 48 peratus daripada keseluruhan pencarum mempunyai baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun mereka setakat 30 September 2023. Melalui PADU, sistem perlindungan sosial rakyat dapat diperkukuhkan.


Keenam, PADU berpotensi menyokong pengurusan belanjawan lebih strategik menerusi pengurusan subsidi dan bantuan lebih bersasar.


Belanjawan 2023 memperuntukkan sejumlah besar 74.8 peratus bagi bajet mengurus yang mana 22.1 peratus daripadanya diperuntukkan bagi subsidi dan bantuan sosial. Melalui inisiatif pelaksanaan subsidi dan bantuan bersasar, penjimatan diperoleh dapat digunakan bagi pembangunan memberi manfaat kepada masyarakat.


Ketujuh, PADU menjadi pemangkin kepada kepada Kerajaan Digital.


Melalui penggunaan data dan analitik, PADU akan mengemudi transformasi digital kerajaan yang lebih bermaklumat, bermanfaat serta berkesan sebagai salah satu e-khidmat kerajaan merangkumi:


i: Menyelaras perkhidmatan dengan lebih teratur, holistik dan mempunyai impak signifikan kepada kumpulan sasar. Mendorong kerajaan ke arah pembangunan dan usaha kemapanan lebih baik bagi meningkatkan kualiti taraf hidup


ii: Menangani cabaran membangunkan negara ke arah lebih baik seperti mengurangkan penyebaran penyakit, menangani perubahan iklim dan lain-lain.


Kesimpulannya, kewujudan PADU sebagai satu pangkalan data komprehensif adalah satu anjakan besar dalam sistem pentadbiran negara. Ia memberi manfaat cukup besar manakala tahap keselamatannya pula tidak perlu diragui.


19 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page