top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

PALAPES Challenge Latih Gaya Hidup Berpasukan

Oleh : Nasuha Mizam Penyunting : Rafidahtul Aqilah


Sumber: PALAPES UKM

BANGI, 11 Nov- Seramai 188 orang Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UKM dari peringkat junior, pertengahan dan senior menyertai PALAPES Challenge yang mengetengahkan gaya hidup berpasukan pada cuti semester baru-baru ini.


PALAPES Challenge terdiri daripada tiga fasa iaitu pada fasa pertama tugasan yang perlu diselesaikan adalah larian sejauh 1.6 km dengan membawa beban seberat lima kilogram setiap seorang, fasa seterusnya merentas halangan dan fasa terakhir ialah fasa “load relay”.


Menurut Pegawai Rendah Muda Muhammad Amirul Farhan Abd Razak, tahun 3 Fakulti Pengajian Islam, fasa merentas halangan merupakan fasa paling rumit dan mencabar kerana terdapat enam halangan berbeza yang perlu dilalui 15 individu dari setiap kompeni iaitu HQ, Alpha, Bravo, Charlie dan Delta.


“Di antara kesemua fasa, bagi saya paling mencabar dan rumit ialah fasa merentas halangan kerana dimana ia perlu di selesaikan sebelum ke fasa seterusnya.” Katanya ketika ditemubual wartawan Nadi Bangi.


Pegawai kadet PALAPES telah menjalani latihan ketenteraan selama sembilan hari bermula dari 25 Oktober hingga 03 November yang bertujuan melahirkan pegawai simpanan bagi memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia selain dapat membentuk kualiti seorang berdisiplin dan mempunyai ciri-ciri yang mampu mempertahankan kepentingan negara.


Program ini merupakan kerjasama di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk pelajar di Institutsi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).


Salah seorang peserta dari peringkat senior, Kadet Koperal Siti Nur Faranajihah Mohammad, tahun 3 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan berkata “Pada pandangan saya, PALAPES Challenge cukup mencabar kecergasan fizikal dan mental saya kerana ia menggunakan tenaga yang banyak di samping dapat bekerja dan bergerak dalam satu pasukan demi mencapai masa yang disasarkan.


“Rezeki Allah itu tidak diduga, kompeni Bravo iaitu kompeni saya dinobatkan sebagai juara dalam PALAPES Challenge dan ia sangat membanggakan ahli kompeni yang lain” katanya lanjut.


Selaku Pegawai Kadet Koperal Muhammad Amir Haikal Mohd Helmi, tahun 1 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dari peringkat junior melahirkan perasaan teruja ketika ditemubual mengenai PALAPES Challenge.


Kata Amir Haikal, “Cabaran dan halangan bukanlah satu titik pengakhiran untuk berhenti dari melakukan perkara yang disukai dan diminati.


“Saya tetap meneruskan setiap perkara yang saya mulakan walaupun memerlukan pengorbanan dari segi masa, wang dan tenaga kerana itulah perjuangan saya sebagai kadet PALAPES dan disitulah saya tahu erti dan nilai apabila bakal ditauliahkan kelak” tambahnya.


Matlamat utama PALAPES Challenge sekaligus sejajar dengan peranan utama PALAPES UKM iaitu menghasilkan pegawai–pegawai muda yang berkelayakan untuk diambil berkhidmat dalam Angkatan Tetap dan Angkatan Simpanan ATM apabila diperlukan dan menyediakan pelajar IPTA sebagai pegawai dalam Askar Wataniah di samping menyumbang kepada negara dengan membekalkan pemimpin–pemimpin yang berilmu tinggi serta peka kepada keperluan pertahanan negara.’

45 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page