top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Panggung Wayang Tidak Lagi Beroperasi Bermula November Ini

Wartawan: Masyitah Sabri

Penyunting: Amiera Hanis Hussin



Sumber: Harian Metro

KUALA LUMPUR, 30 Okt - Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) telah membuat keputusan untuk menangguhkan operasi panggung wayang di seluruh Malaysia bermula November ini akibat kerugian pendapatan yang mendalam sepanjang pandemik Covid-19.

Walau bagaimanapun, penutupan ini tidak mudah kerana penutupan dan pembukaan semula panggung memakan kos yang membebankan dan proses ini menyukarkan banyak pihak, namun MAFE menjelaskan bahawa ia adalah penting sebagai pemeliharaan jangka panjang untuk industri pawagam Malaysia.

Keputusan ini juga didorong oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang kini diperketatkan semula di beberapa buah negeri dan wilayah yang menyekat sebarang aktiviti industri pawagam untuk beroperasi dan kekurangan siaran filem baru yang signifikan bagi menarik minat penggemar filem.

Dalam satu kenyataan, MAFE menyatakan bahawa industri pawagam Malaysia telah mengalami kerugian pendapatan yang besar sehingga 90 peratus semenjak dilanda wabak Covid-19, di samping perlu banyak melabur bagi mematuhi piawai operasi prosedur dan memastikan pematuhan serta keselamatan pelanggan terjamin.

“Kepada semua pelanggan pawagam di Malaysia, kami ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan dan solidariti yang tidak henti selama ini, dan kami berharap dapat menyambut anda kembali tidak lama lagi bagi bersama berkongsi keajaiban filem di layar,” kata Naib Presiden MAFE, Cheah Chun Wai.

Menurut Cheah, bukan sahaja MAFE yang terjejas, malah keseluruhan industri perfileman di Malaysia juga turut terpalit dan yang merisaukan adalah jika perniagaan tersebut gagal, maka seluruh ekosistem industri hiburan akan terkesan.

Hal ini demikian kerana seluruh tenaga industri termasuk pelakon, kru, promoter, dan petugas yang berkaitan dengan penghasilan filem tidak dapat memperoleh pendapatan dan keuntungan daripada sumber utama iaitu penyiaran filem-filem di pelantar seperti panggung wayang.

Cheah berharap supaya semua pihak termasuklah kerajaan, pemilik tanah, penerbit filem dan pengunjung untuk terus memberi sokongan kepada industri ini untuk terus bertahan bagi menempuh keadaan yang sukar ini.

162 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page