Penulis: Ainul Salsabila Aidi
Penyunting: Nur Izzah ‘Atirah Abdul Rahim
Sumber: Google
KUALA LUMPUR, 28 Mei - Tular di media sosial berkenaan isu penyamaran seorang lelaki memakai telekung dan mencerobohi surau wanita yang terletak di pusat membeli belah Avenue K, selanjutnya berpura-pura beribadah disebalik niat kejinya.
Kesucian tempat beribadah seperti surau atau masjid justeru perlu dijaga oleh kerana ia menjadi lokasi bagi setiap umat Islam bersujud mencari ketenangan. Lazimnya
surau di tempat awam dibahagikan untuk pengguna lelaki dan wanita.
Walau bagaimanapun, kejahatan berlaku tidak mengenal tempat. Modus operandi yang digunakan penyamar tersebut adalah dengan menunaikan solat sunat 2 rakaat sekitar jam 4 hingga 6 petang, kononnya menunggu untuk solat Maghrib.
Menerusi temu bual bersama saksi kejadian, Siti Jamilah Nordin, 24, beliau berkata seorang lagi wanita yang berada di tempat kejadian bernasib malang kerana telefon bimbitnya dipercayai hilang pada ketika itu.
Penyamaran suspek berjaya ditumpaskan apabila mangsa mengesyaki ‘wanita’ yang memakai telekung tersebut lalu berhubung dengan pihak pengurusan pusat membeli belah untuk tindakan selanjutnya.
“Pada awalnya pihak pengurusan tidak dibenarkan membuat apa-apa siasatan terhadap individu itu kerana tiadanya waran. Namun, akhirnya perbuatan beliau kantoi disebabkan suaranya,” kata saksi.
Menurutnya, telefon yang dicuri oleh penyamar tersebut disimpan di dalam pakaian dalamnya serta kad SIM dicampak ke kawasan penyimpanan kain telekung.
Kejadian ini justeru meletakkan tanda tanya akan keselamatan wanita yang terjejas dengan pencerobohan lelaki di dalam surau wanita yakni tempat beribadah.
Salah seorang pengguna Twitter, @xxhoshi1010xx yang memetik ciapan saksi berkata, wanita ingin beribadah kini sudah tidak selamat dan perkara ini turut meningkatkan kerisauan beliau untuk keluar rumah.
Dalam kekecohan pihak wanita menyuarakan kebimbangan mereka jika tiada tindakan tegas diambil, pihak lelaki turut menyatakan mereka berada di tempat yang sama kerana kecurian atau rompakan di dalam surau lelaki turut berlaku.
Namun, disebalik kes kecurian yang berlaku, perkara yang menjadi isu utama adalah tentang individu lelaki mencerobohi surau wanita kerana terdapat batasan aurat wanita iaitu bahagian anggota badan yang haram diperlihatkan oleh lelaki, justeru menjadi kebimbangan wanita.
Dalam pada itu, pengguna Twitter @daniaaanazri yang berkongsi pengalaman beliau susulan kes ini turut mengingatkan wanita untuk sentiasa berwaspada dan tidak mempercayai sesiapa kerana jangan disangka tiada keburukan akan berlaku meskipun berada di tempat beribadah.
コメント