top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Pastikan Bekalan Darah Sentiasa Ada

Oleh : Liu Jiun Er

Penyunting : Amira Zulaikha binti Saidon


Sumber : Nurul Fadhllan Bin Abd Aziz


KEMAMAN, 7 Jun – Hospital Kemaman telah menganjurkan Kempen Jom Derma Darah pada pagi tadi dan disahut oleh orang ramai serta beberapa wakil dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).


Kempen Derma Darah secara terkawal dijalankan di Hospital Kemaman sepanjang PKP bagi memastikan bekalan darah cukup untuk kegunaan di hospital, namun saringan kesihatan Covid-19 akan dijalankan terlebih dahulu sebelum orang ramai dibenarkan menderma.


Menurut Nurul Fadhllan Bin Abd Aziz atau lebih dikenali sebagai Yu, beliau menyertai Kempen Jom Derma Darah ini kerana timbul rasa ingin membantu pihak hospital, khususnya dengan menderma darah kepada tabung darah di hospital bagi memudahkan kerja merawat mangsa-mangsa yang terlibat dalam kemalangan atau sebarang pembedahan.


“Jenis darah saya adalah O yang sangat diperlukan kerana ia adalah darah universal. Saya kerap menyertai kempen sebegini kerana rasa bertanggungjawab untuk memastikan bekalan darah mencukupi.”


Kempen ini mendapat sambutan seramai 25 orang penderma dan melibatkan tiga pihak iaitu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pondok Pasir, Yak Yah dan Bukit Takar yang memastikan bekalan darah mencukupi bagi kegunaan di hospital sepanjang PKP.


“Saya dapat info tentang Kempen Jom Derma Darah daripada pihak MPKK Yak Yah dan saya ajak kawan-kawan saya untuk menyertai kempen ini dengan menyebarkan poster melalui WhatsApp”.


Bukan itu sahaja, Yu juga menubuhkan satu kelab dan selalu menyumbangkan bantuan kepada masyarakat terutamanya sepanjang PKP.


“Saya kumpulkan kawan-kawan untuk memberikan bantuan barangan dapur kepada rumah-rumah anak yatim di sekitar Kemaman, mencuci rumah-rumah mangsa banjir dan membersihkan kawasan seperti kubur dan pantai.”


Menurutnya, beliau berasa simpati apabila melihat beberapa ahli masyarakat yang tidak mampu untuk membeli barangan keperluan akibat PKP kerana tidak dapat berniaga atau bekerja seperti biasa.


Baru-baru ini Yu bersama rakan-rakannya membersihkan Pantai Marina Kemaman kerana tidak tahan melihat kawasan pantai semakin kotor dan penduduk di sekitar kawasan tersebut cakna tentang kebersihan pantai itu.


“Setiap program tidak akan berjaya jika kita buat berseorangan dan pada masa yang sama, ini dapat mewujudkan kesedaran kepada generasi muda untuk membantu golongan yang tak seberapa dan memberikan kesedaran tentang penjagaan alam sekitar kepada masyarakat kita.”


Yu berharap agar dengan mengadakan kempen-kempen dan aktiviti ini dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat serta menggalakkan orang ramai khususnya remaja untuk menyertai program- program yang bermanfaat ini.


“Marilah kita ajak ramai-ramai untuk jaga kebersihan pantai kita bumi kita,” katanya.

38 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page