• Nadi Bangi

Pawagam Seluruh Malaysia Dibuka Semula

Oleh : Nurul Ain Samad

Penyunting : Syakila Hidayu Suhaimi

Sumber : Twitter GSC Malaysia

Kuala Lumpur, 2 Julai – Pawagam di seluruh Malaysia kini telah dibenarkan beroperasi semula mulai 1 Julai 2020 mengikut Standard Operational Procedures (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.


Pembukaan panggung wayang ternyata telah memberi kelegaan buat mereka yang meminati pelbagai filem baharu tempatan dan antarabangsa apabila panggung wayang yang sebelum ini ditutup buat sementara waktu bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 yang berlaku dalam negara telah dibuka semula.


Nadi Bangi meninjau beberapa akaun Twitter netizen yang telah meluahkan pandangan dan pendapat mereka berkaitan dengan pembukaan semula panggung wayang di seluruh Malaysia yang mengikut peraturan dan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Not bad lah. Bagus tengok pawagam sekarang untuk orang single macam aku. Tak rasa pelik sangat duduk sorang”, luah salah seorang netizen menerusi akaun Twitter @Hamka0102 apabila pihak pengurusan pawagam telah memastikan penjarakan tempat duduk antara penonton di dalam pawagam.


Beberapa keping gambar tentang situasi dan keadaan di panggung wayang yang dikunjungi umum juga telah dimuatnaik menerusi akaun Twitter rasmi pawagam Golden Screen Cinema (GSC) dengan kapsyen “Hari pertama kembali ke pawagam. Terima kasih semua! Semua bagus patuhi SOP yang ditetapkan. GSC love you 3000”.


Malaysia Government Call Centre (MyGCC) menerusi laman sosial Twitter rasmi mereka juga telah memuat naik informasi mengenai beberapa perkara penting termasuk pendedahan had umur tertentu yang dibenarkan masuk ke dewan tayangan di pawagam.


“Untuk makluman, mengikut SOP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), pelanggan yang berumur 12 tahun ke bawah dan berumur melebihi 60 tahun tidak dibenarkan memasuki dewan tayangan”.


Terdahulu, dalam sidang media bertarikh 23 Jun 2020, Menteri Kanan (Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata bahawa mesyuarat juga telah bersetuju untuk membenarkan aktiviti pawagam ataupun panggung wayang, teater dan juga live event untuk dibuka semula mulai 1 Julai 2020 dan lokasi yang hanya berada di dalam kawasan atau dewan tertutup sahaja dibenarkan untuk beroperasi semula seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan.

39 views0 comments

Related Posts

See All