Nadi Bangi
Shinto Kepercayaan Asli Dan Terlama Masyarakat Jepun?
Oleh: Amirah Syazwani Binti Shawel
Penyunting: Rienna Kaur

Sumber: manga.tokyo
Kepada peminat kartun animasi Jepun, pernahkah anda melihat pintu gerbang merah yang kerap kali disiarkan di dalam anime seperti Noragami, Kakuriyo no Yadomeshi dan Hoozuki no Reitetsu? Tahukah anda tentang kepercayaan yang sudah bertapak selama 2,500 hingga 3000 tahun dahulu di negara bunga sakura dan kini menjadi adat dan budaya sebilangan besar masyarakat Jepun?
Pintu gerbang merah atau Torii (鳥居) yang simboliknya menandakan pintu peralihan dunia ke tempat suci merupakan pintu gerbang tradisi Jepun yang boleh dijumpai di pintu-pintu masuk atau di dalam kuil Shinto.
Shintoisme atau Shinto merupakan budaya politeisme yang diragui statusnya sebagai agama kerana tiada pengasas dan tiada kewujudan kitab suci rasmi malah lebih dilihat sebagai amalan dalam kehidupan sosial masyarakat Jepun seperti mana yang dapat dilihat pada masa kini. Shinto yang bermaksud “cara kami” atau “cara roh dan dewa” merupakan kepercayaan tentang hubungan yang ada pada dewa dan alam. Mereka percaya bahawa dewa dan roh mengambil bentuk dan rupa daripada alam seperti gunung, hujan, sungai dan angin termasuk manusia yang mempunyai nilai tertinggi juga yang telah meninggal dunia dianggap sebagai dewa oleh ahli keluarga. Shintoisme juga percaya bahawa manusia ialah baik pada dasarnya dan menjadi jahat disebabkan oleh roh. Dalam kepercayaan Shinto, Amaterasu iaitu dewi matahari masyarakat Jepun merupakan permaisuri segala dewa-dewi dan penguasa alam semesta kerana matahari melambangkan dua konsep Shinto yang paling penting iaitu kesucian dan ketertiban.
Kepercayaan yang telah diperkenalkan pada abad ke-6 di negara Jepun ini pada mulanya wujud sebagai pegangan fahaman kelompok masyarakat praliterasi yang kemudiannya berkembang menjadi budaya dan gaya hidup sebilangan besar masyarakat Jepun. Pada awalnya, orang Jepun baru sahaja mula berjinak-jinak dengan pertanian dan seterusnya menjadi rutin dan adat yang sering dilakukan bagi memperoleh hasil tuaian yang baik semasa musim menuai. Rutin utama yang dilaksanakan termasuk penyucian, persembahan, bacaan atau doa, dan makanan penutup dan bertujuan untuk menjaga atau mengembalikan keharmonian di antara alam semulajadi dan manusia. Biarpun tidak mempunyai sebarang struktur keramat di awal kewujudan kepercayaan ini, rakyat Jepun mula membina kuil sebagai simbolik dewa dan tempat menjalankan upacara mereka.
Berbeza dengan agama Buddha, dalam Shinto tiada larangan ke atas mana-mana jantina untuk menjadi paderi dan mereka dibenarkan untuk memiliki pasangan dan anak. Paderi-paderi tersebut akan dibantu oleh wanita-wanita muda yang dikenali sebagai miko untuk melaksanakan tugasan tokong dan upacara tertentu.

Sumber: @alif.akmal26
Jenis Shinto
Umumnya terdapat tiga bentuk utama Shinto iaitu Shinto Tokong, Shinto Aliran dan Shinto Rakyat bagi membezakan penekanan dalam amalan dan kepercayaan ini. Shinto yang telah lama wujud sejak permulaan sejarah Jepun iaitu Shinto Tokong atau Jinja Shinto (神社神道) merupakan arus utama tradisi Shinto dan diamalkan oleh lebih 100,000 tokong yang dikenali di seluruh negara Jepun. Shinto Tokong mengajar penganutnya untuk bersyukur terhadap nikmat yang diberikan oleh dewa dan faedah yang diterima daripada nenek moyang selain menjalankan upacara Shinto dengan kerap. Shuha Shinto (宗派神道) atau Shinto Aliran mempunyai 13 aliran utama yang berasal dari Jepun sekitar abad ke-19. Shuha Shinto menekankan ketakwaan dan kesucian selain pemujaan kepada dewa tradisional Shinto. Contoh-contoh aliran Shinto adalah seperti Kurozomikyo, Konkokyo dan Tenrikyo. Seterusnya ialah Shinto Rakyat atau dikenali sebagai Minzoku Shinto (民俗神道) diamalkan oleh orang biasa dan tidak mempunyai sebarang struktur organisasi tertentu. Shinto jenis ini berkait dengan Jinja Shinto disebabkan oleh upacara kehidupan dan perayaan sepanjang tahun lebih kurang sama.

Sumber: @alif.akmal26
Kuil Shinto
Di Jepun, terdapat 80,000 tokong Shinto atau Jinja yang merupakan tempat suci untuk memuja dan tempat tinggal dewa-dewi. Tokong-tokong tersebut bukan sahaja terdiri daripada binaan mazbah seperti yang dapat dilihat pada masa kini tetapi terdapat juga daripada ciri semula jadi seperti batuan, di kawasan pegunungan dan perlindungan kerana sebelum berlakunya pembinaan, tokong terawal hanya dibuat daripada batuan. Tokong yang kerap diperlihatkan pada masa kini memiliki ciri yang sangat penting dari aspek seni bina dan reka bentuk yang dipengaruhi oleh seni bina cina daripada tempoh Nara pada abad ke-8 seperti cat merah dan elemen hiasan yang megah. Antara ciri seni bina yang dijumpai di sebuah kuil adalah seperti torii, komainu, dewan utama dan persembahan, ema dan omikuji. Kuil-kuil besar selalunya diuruskan oleh ketua paderi (guji) dan paderi (kannushi) manakala kuil kecil diuruskan oleh oleh ahli komuniti kuil tersebut yang dikenali sebagai sodai. Tokong Kirishima Jingu merupakan antara kuil terkenal di Jepun lantaran bahagian luarnya berwarna-warni yang sangat menonjol bersama pohon cedar di sekitarnya. Kuil ini dibina semula pada tahun 1715 oleh kerana letusan gunung berapi sehingga menyebabkan kerosakan yang teruk pada struktur binaan kuil tersebut.