• Nadi Bangi

Pdpr Perlu Perancangan Jelas Bagi Atasi Masalah Mental Pelajar

Oleh: Hazwani Amiruddin

Penyunting: Ain Natasha



Sumber: Bernama


Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) memerlukan perancangan lebih jelas bagi mengatasi masalah mental dalam kalangan pelajar dan mengelak kebimbangan ibu bapa daripada terus berpanjangan. Ia susulan daripada keputusan yang diambil oleh kerajaan Malaysia untuk melaksanakan ‘total lockdown’ bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang semakin hari semakin meningkat di negara ini. Hal demikian juga telah mendesak semua pihak untuk terus beradaptasi dengan norma baharu bagi meneruskan kehidupan termasuk institusi pendidikan dalam usaha untuk terus menyalurkan ilmu kepada anak bangsa.


Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada tahun 2019 terdapat hampir setengah juta rakyat di negara didapati mengalami simptom tekanan atau depresi di mana separuh daripada masalah gangguan mental mula dikesan pada usia 14 tahun dan tiga per empat daripadanya pada pertengahan usia 20-an. Melalui tinjauan ini juga mendapati bahawa satu daripada lima remaja di Malaysia mengalami kemurungan yang didominasi oleh lelaki sebanyak 18.9 peratus, manakala remaja perempuan sebanyak 17.7 peratus. Statistik tersebut juga menunjukkan dua daripada lima remaja akan keresahan dengan peratus remaja perempuan sebanyak 42.3 peratus dan remaja lelaki sebanyak 37.1 peratus. Hasil daripada laporan tinjauan ini mendapati bahawa masyarakat terutamanya golongan muda hari ini sememangnya sangat memerlukan bantuan psikologi dalam usaha mengatasi atau mencegah daripada mengalami masalah mental terutamanya ketika dalam keadaan yang tidak stabil.


Utamakan Subjek Penting ketika PdPR

Pihak Kementerian Pendidikan dan sekolah perlu meninjau semula subjek-subjek yang diketengahkan sepanjang tempoh Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi meringankan beban pelajar kerana kita sedia maklum belajar secara maya memerlukan fokus yang lebih kerana suasana belajar itu tidak sama seperti berada di sekolah. Dalam hal ini, subjek teras perlu diutamakan dan guru-guru perlu mempelbagaikan corak pembelajaran dari segi menarik minat pelajar serta memberikan pengajaran yang berkualiti. Selain itu, pihak sekolah juga perlu mengenalpasti cara bagaimana untuk membantu golongan masyarakat yang kurang berkemampuan atau B40 agar tidak ketinggalan sepanjang tempoh PdPR ini berikutan mereka berkemungkinan tidak mampu mempunyai keperluan seperti gadget dan alatan yang diperlukan sepanjang tempoh ini. Tambahan lagi, guru-guru juga perlu berpada-pada dalam memberikan tugasan agar pelajar tidak berasa tertekan sepanjang membiasakan diri dalam norma baharu ini. Justeru, pembelajaran yang fleksibel perlu diketengahkan agar golongan muda hari ini masih mampu memperolehi ilmu pendidikan walaupun negara sedang berhadapan pandemik.


Sokongan Keluarga Penting dalam Mengawal Emosi Pelajar ketika PdPR

Keluarga merupakan golongan yang perlu memainkan peranan penting dalam memberi sokongan serta dorongan kepada pelajar sama ada pelajar yang berada di rumah ataupun institusi pendidikan. Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa ia satu perkara yang agak mencabar buat ibu bapa terutamanya kepada mereka yang bekerja dalam memantau aktiviti seharian anak-anak di mana belajar secara maya mungkin membuatkan mereka hilang fokus dan lebih cenderung untuk mendapat keseronokan dengan bermain permainan video dan sebagainya. Namun begitu, ibu bapa dan guru seharusnya bersama-sama menjadikan PdPR ini sebagai sesuatu yang dapat dijayakan dengan sempurna seperti ibu bapa mungkin boleh memberi sokongan dalam membantu anak-anak menyiapkan kerja sekolah, memantau aktiviti mereka, bertanyakan khabar dan sebagainya. Hal demikian secara tidak langsung mampu memberikan satu perasaan positif dan mengurangkan tekanan buat pelajar tersebut kerana merasakan bahawa ibu bapa masih mengambil berat dan ada tempat mengadu.


“Ibu bapa perlu mengajar anak-anak mengenai pengawalan kendiri dalam usaha mengurangkan tekanan belajar ketika PdPR di mana anak-anak perlu mengetahui batasan diri dan mempunyai perancangan yang tersusun agar tidak memberikan tekanan kepada diri mereka.” ujar Dr Hilwa Binti Abdullah yang merupakan Pensyarah dan Pakar Psikologikal Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa pelajar perlu lebih bersikap terbuka untuk berkongsi masalah dengan keluarga ataupun rakan-rakan agar mereka tidak terjerumus untuk mendapat masalah kesihatan mental seperi depresi, kemurungan dan sebagainya.


Pelajar perlu Berdisiplin dalam Menjayakan PdPR

Bukan sahaja guru dan ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk menjayakan PdPR malah pelajar juga perlu mengurus diri dengan baik supaya sistem PdPR dapat dijalankan dengan berkesan. Walaupun tidak belajar secara berhadapan dengan guru, sikap tanggungjawab dan semangat untuk belajar itu perlu ada. Hal demikian kerana, jika tidak ada disiplin, teknologi tinggi sekali pun tidak memberi kesan kerana faktor utama kejayaan PdPR ialah pembelajaran secara kendiri di mana pelajar perlu bijak membahagikan masa dan lebih bersikap terbuka untuk bertanya kepada guru atau rakan apabila tidak memahami tentang sesuatu perkara. Malah inisiatif kendiri perlu diambil bagi mendapatkan lebih ilmu pengetahuan di mana pada hari ini dengan kewujudan teknologi sememangnya mampu menjadikan PdPR ini lebih mudah.


Selain itu, aktiviti sihat juga dapat diamalkan terutamanya bagi mengurangkan tekanan belajar atau sebagainya. Sebagai contoh, pelajar boleh melakukan aktiviti riadah diluar rumah bersama keluarga atau menghubungi rakan-rakan bagi berkongsikan masalah dan sebagainya dapat membantu seseorang daripada terus terbeban dengan tekanan. Sememangnya pada hari ini, setiap dari kita mempunyai tekanan masing-masing namun perkara itu tidak seharusnya menjadi punca untuk memutuskan ukhwah atau persahabatan yang terjalin di mana dalam situasi begini kerjasama itu adalah sangat penting bagi menjadi sokongan kepada setiap individu.


Akhir sekali, semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam usaha menjadikan sesi PdPR ini sesuatu kejayaan yang mampu melahirkan generasi yang berwawasan walaupun kita sedang berhadapan dengan pandemik. Kerajaan juga perlu berfikir di luar kotak dalam usaha menangani kekangan yang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini terutamanya dalam usaha mengurangkan statistik masalah mental di negara ini.



368 views1 comment

Related Posts

See All