• Nadi Bangi

Pegawai APM Kongsi Pengalaman Hadapi Tanah Runtuh

Oleh : Nur Liana Afandi

Penyunting : Muhammad Aiman Shaharudin


Sumber : Berita Harian

Kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Fraser-Raub menjadi antara salah satu ‘pembuka tirai’ tahun 2021 ekoran hujan berpanjangan yang melanda Malaysia. Kawasan lereng bukit dan bercerun yang mengalami runtuhan merupakan bencana alam yang biasa berlaku lebih-lebih lagi semasa musim tengkujuh. Runtuhan sejak Disember 2020 yang lalu, kian parah apabila kawasan yang sama mengalami keruntuhan seperti menunjukkan tanda-tanda bahawa struktur geografi tanah yang longgar. Menurut akhbar Berita Harian, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Rozi Umor menyatakan bahawa kejadian tanah runtuh yang berlaku kebiasaannya dicetuskan oleh aktiviti manusia di dalam sektor pembinaan seperti bangunan dan jalan raya yang membabitkan pemotongan cerun tanah dan batuan. Namun, hujan yang berterusan menyebabkan tanah menjadi tepu air dan menggelongsor turut menjadi faktor pencetus yang mendorong pergerakan struktur tanah yang lemah.


Rentetan daripada peristiwa runtuhan yang masih segar di ingatan, Leftenan Muda Angkatan Pertahanan Awam (LtM PA), Madihah binti Hishamudin, 24, salah seorang mangsa runtuhan pada 3 Januari yang lalu menjelaskan bahawa kejadian ini merupakan pengalaman pertama yang dialami oleh beliau dan 5 orang ahli keluarganya semasa dalam perjalanan pulang dari Bukit Fraser ke Kuala Kubu Bharu. Beliau menjangkakan situasi tersebut akan berlaku tetapi mereka masih meneruskan perjalanan kerana tidak mendapat sebarang maklumat tanah runtuh yang menghalang laluan mereka. Bapa beliau, Pegawai Sukarela Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Lumpur, Kapten (PA), Hishamudin Salleh, 57, turut berpesan agar mereka sekeluarga mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa memerhati keadaan sekeliling berikutan cuaca hujan sederhana lebat di mana terdapat kesan tanah runtuh kecil serta aliran air deras yang berkeladak di sepanjang lereng bukit. Berdasarkan pengalamannya, beliau menyarankan beberapa tindakan yang boleh diambil jika seseorang individu menghadapi situasi tanah runtuh.


Menilai situasi


Jika anda berada di kawasan lereng bukit dan bercerun, pastikan anda sentiasa peka dengan keadaan yang berlaku. Kebiasaannya, kejadian tanah runtuh akan mengakibatkan kesesakan lalu lintas kerana terdapat halangan seperti timbunan tanah dan pokok tumbang di laluan keluar kenderaan. Anda hendaklah keluar daripada kenderaan untuk melihat punca kesesakan tersebut dan memastikan anda berada dalam keadaan yang selamat serta jauh daripada kawasan cerun berisiko kerana dikhuatiri akan terjadi pergerakan tanah yang masih aktif di lokasi runtuhan.


Menilai risiko


Periksa persekitaran sekiranya terdapat ancaman bahaya Semasa kenderaan berhenti, anda berada di kawasan lereng dan cerun yang berkemungkinan akan runtuh. Jika kenderaan anda terpaksa berhenti dalam kawasan cerun berisiko, anda perlulah segera keluar daripada kenderaan dan pergi ke kawasan yang diyakini selamat sekurang-kurangnya sehingga anggota penyelamat tiba di lokasi kejadian.


Bertindak Dengan Segera


Pastikan anda tidak panik dan sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang akan berlaku berhampiran anda. Sekiranya sisa runtuhan yang menghalang laluan dapat dialihkan bagi membersihkan jalan, anda dikehendaki untuk meneruskan perjalanan keluar dari kawasan tersebut dengan segera. Jika sebaliknya, anda dinasihatkan untuk berpatah balik atau berada di tempat yang selamat. Pemanduan secara berhemah perlulah dititikberatkan kerana keadaan jalan yang licin dan berselekoh meningkatkan risiko kemalangan jiwa.


Kumpul Maklumat Mangsa


Sebagai individu yang bertanggungjawab, anda sewajarnya mengumpul maklumat peribadi mangsa yang terlibat mengikut kategori iaitu bayi, kanak-kanak, dewasa dan warga emas apabila anda sudah berada di tempat yang selamat. Anda juga perlu memeriksa mangsa sama ada mereka dalam keadaan yang baik atau mengalami sebarang kecederaan disebabkan runtuhan. Tindakan ini akan memudahkan pasukan penyelamat mengenalpasti bilangan mangsa bagi meneruskan operasi menyelamat dengan berkesan. Setiap ketua keluarga atau pemandu hendaklah memastikan barangan peribadi, bekalan makanan dan alat komunikasi dalam keadaan yang baik. Periksa setiap kenderaan dan kumpulkan kit pertolongan cemas yang ada untuk digunakan jika berlaku insiden kecemasan sebelum pasukan penyelamat tiba.


Pengagihan Tugas


Semua mangsa haruslah berganding bahu dan melakukan pengagihan tugas seperti menghubungi pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat berkenaan bencana yang berlaku. Anda juga perlu cakna dengan keadaan fizikal sekeliling dengan memantau persekitaran dan melaporkan dengan segera sekiranya terdapat runtuhan susulan di kawasan berdekatan. Ambil gambar sebagai bahan bukti dan pelaporan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), bilik gerakan Pusat Pengurusan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).



626 views0 comments

Related Posts

See All