top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Pelajar Antarabangsa Sambut Syawal di Kampus

Penulis: Muhammad Aziq Hamizan Azirin Azali

Penyunting: Syed Izzul Adib Syed Tajul Ariffin


Sumber foto: Google


Bangi, 24 April – Kemeriahan sambutan aidilfitri kali ini bukan sahaja dirasai oleh para pelajar tempatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) malah turut dirasai juga oleh para pelajar antarabangsa yang berada di kampus.


Pelajar antarabangsa yang tidak pulang ke negara mereka menyambut Syawal dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan walaupun secara kecil-kecilan bersama rakan-rakan di kampus.


Mahasiswa Indonesia Mohammad Saddiq Ikmal, 21, jurusan Psikologi Tahun 2 merasakan kelainan sambutan syawal pada tahun ini berbanding sambutan pada tahun-tahun sebelum.


“Pada syawal sebelum ini saya akan pulang ke Bandung dan beraya bersama keluarga namun syawal tahun ini berbeza kerana sambutan bersama rakan-rakan di kampus amat berlainan sekali. Tambahan saya dapat melaksanakan solat Aidilfitri di Masjid UKM bersama masyarakat sekeliling”, katanya.


“Pagi syawal kebiasaannya saya akan bersalaman dengan keluarga dan makan bersama mereka namun syawal kali ini saya bersama rakan-rakan. Berkongsi juadah yang dibawa oleh mereka di pagi syawal”, tambahnya.


Kemeriahan sambutan syawal ini turut dirasai oleh seorang mahasiswa dari negara Tembok Besar. Mahasiswa China Ying Xiu, 22, jurusan Teknologi Maklumat Tahun 2 menganggap sambutan syawal di Malaysia mempunyai keunikan dan amalan budaya yang sangat baik untuk dicontohi.


“Sambutan Syawal di Malaysia mempunyai keunikan tersendiri kerana bukan sahaja masyarakat melayu yang beragama islam yang merayakannya namun semua masyarakat yang berlainan agama dan bangsa turut merayakannya”.


“Saya juga merasakan kemeriahan Syawal ini mewujudkan satu budaya baik yang harus dicontohi oleh semua negara. Hubungan diantara insan dapat dikekalkan dan dirapatkan dengan budaya kunjung mengunjung”, tambahnya lagi.


Sambutan Syawal bukan sahaja dirayakan oleh masyarakat islam namun turut dirasai oleh bangsa dan agama lain. Sambutan Syawal ini memberikan mereka satu kenangan dan pengalaman yang berbeza.



45 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page