top of page
  • Writer's pictureZurain Syahira

Pelajar Cadang Tingkat Keselamatan Laluan Keluar Masuk UKM

Penulis: Zurain Syahira Jupri

Penyunting: Yasmin Alyaa Fathinah Jafpar


BANGI – Keselamatan pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu ditingkatkan terutamanya di laluan pintu masuk keluar universiti.

Ini adalah susulan satu berita tular di kalangan pelajar UKM tentang kehilangan barang berharga di kolej kediaman masing-masing.


Suspek merupakan seorang lelaki dalam lingkungan 20-an, telah berjaya melarikan pelbagai barang berharga seperti komputer riba serta telefon bimbit. Walau bagaimanapun, pihak keselamatan telah berjaya mengesan susuk tubuh suspek melalui satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakkan di kawasan kolej.


“Rondaan keselamatan setiap malam sahaja tidak cukup sekiranya orang awam bebas keluar masuk ke dalam universiti tanpa kawalan ketat. Akan tetapi pihak kami cuba mengawal pergerakan keluar masuk kenderaan selepas jam 12 malam untuk memastikan tiada individu yang mencurigakan. Selain pihak keselamatan, kolej juga perlu memberi kerjasama dengan menghadkan aktiviti malam pelajar supaya lebih terkawal” kata polis keselamatan UKM, Miswadan , 40 tahun.


“Pihak Majlis Eksekutif Pelajar juga mengambil tindakan dengan membuat satu jadual berkala untuk meronda kawasan dalam dan luar blok kolej kediaman untuk mengesan perkara yang mencurigakan dan memastikan keselamatan pelajar. Dengan cara ini, kami dapat mengambil tindakan awal sekiranya terdapat sebarang kecemasan atau kes kecurian berlaku di kawasan kolej” kata Eksekutif Keselamatan dan Latihan, Nigel Joe, 21 tahun.


Menurut Exco Teras Kolej Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM), Muhammad Asyraf Sukri berkata pihak kolej seharusnya mengambil iktibar dengan insiden yang terjadi dan menyelenggara kamera litar tertutup di kolej untuk mengawasi persekitaran kolej.


Isu ini seharusnya diambil perhatian dan diselesaikan secepat mungkin serta tidak seharusnya dilepaskan kepada pihak keselamatan semata tetapi memerlukan kerjasama pihak kolej, pelajar dan pentadbiran untuk memastikan keselamatan pelajar UKM.


38 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page