top of page
  • Writer's pictureSiti Syazreen Mahdzim

Pelajar Gesa Penyelesaian Isu Penempatan Pelajar UKM

Penulis: Siti Syazreen Mahdzim

Penyunting: NorFara Faziera Razali


SUMBER : Gerakan #ManaKolejKami


BANGI, 28 Okt - Lebih 1000 pelajar menandatangani petisyen #ManaKolejKami yang dijalankan oleh gabungan mahasiswa yang terkesan dengan masalah gagal mendapat penempatan di kolej dan membuat demonstrasi secara aman di Masjid Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Gerakan ini ditubuhkan untuk menuntut hak mahasiswa dalam mendapatkan penempatan kolej, terutamanya mereka yang telah berusaha mengumpul merit dan golongan yang memerlukan tetapi ditolak berkali-kali oleh pihak pentadbiran apabila memohon kolej.


Koordinator gerakan #ManaKolejKami, Sharifah Umairah Syed Mustaffa (Sarjana Muda Sains Politik, 3) berkata, antara objektif gerakan ini ditubuhkan adalah untuk memastikan isu penempatan kolej dijadikan agenda utama oleh pentadbiran dalam menjaga kebajikan pelajar secara menyeluruh, menggerakkan inisiatif jangka pendek atau panjang yang merangkumi hak pelajar yang telah terjejas dan menyeragamkan gerak kerja semua pihak berkepentingan di kalangan pelajar dalam menghadapi isu kekurangan kolej.


“Isu utama mengapa isu gagal mendapat kolej untuk pelajar ini masih berlaku adalah kerana terdapat masalah komunikasi antara pelajar dan juga pihak pentadbiran.


“Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) yang sepatutnya menjadi wakil suara mahasiswa perlu lebih aktif dalam menyampaikan masalah ini kepada pihak pentadbiran universiti dan lebih bertanggungjawab dalam memikul amanah.” katanya.


Sementara itu, UKM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menawar dan menyediakan penginapan kepada 12,920 pelajar di kolej kediaman bagi Sesi Akademik 2022/2023.


Menurut Pusat Perumahan Pelajar (PPP) UKM, seperti mana diamalkan di semua Universiti Awam (UA), penginapan pelajar di kolej kediaman diberi keutamaan kepada pelajar tahun pertama dan baki kekosongan pula akan dibuka kepada pelajar senior.


UKM juga sudah memperkenalkan sistem e-merit bagi memastikan ketelusan dalam pemilihan pelajar bagi penempatan di kolej kediaman yang mengambil kira data menyeluruh pembabitan dan pencapaian dalam aktiviti/program, akademik, B40, badan beruniform dan pelbagai input lain.


"Pusat Perumahan Pelajar dan Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM sangat mengambil berat berkenaan kebajikan pelajar dan akan terus berusaha untuk memastikan semua penginapan yang ditawarkan kepada pelajar berada dalam keadaan kondusif dan selesa," katanya.


Data terkini yang diterima oleh Pusat Perumahan Pelajar (PPP) UKM sehingga 27 Oktober 2022 adalah seramai 12,420 iaitu sebanyak 96 peratus yang sudah mendaftar di kolej kediaman.

Katanya, baki kekosongan akan ditawarkan kepada 550 pelajar tahun pertama ambilan kedua bermula 25 hingga 31 Oktober 2022.



91 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page