Oleh: Kumutha Vallii a/p Veloo
Penyunting: Deliyana Darwes
BANGI, 11 Nov - Zulieda Azni, pelajar tahun 3 Ijazah Komunikasi Media Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menceburi bidang keusahawanan dengan melancarkan produk kosmetik baharu bersama pelakon terkenal drama Nur, Nur Qamariena Diana atau lebih dikenali sebagai Riena Diana baru-baru ini.
Produk kosmetik yang diperkenalkan dengan jenama Mariposa merupakan set gincu lipmatte dan liptint edisi terhad yang dilancarkan dalam majlis pelancaran pada 31 Oktober lalu di Bandar Baru Bangi yang dihadiri oleh rakan-rakan, selebriti serta ahli keluarganya.
Zulieda menyatakan kesyukuran dan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan dan ahli keluarganya yang tidak putus-putus memberi sokongan sehingga beliau berjaya mencapai cita-citanya untuk memulakan perniagaan ketika masih bergelar pelajar menjadi kenyataan.
“Pelan untuk menceburi bidang ini sudah lama ada tetapi memerlukan jangka masa yang lama untuk melalui proses pemilihan formula produk dan sebagainya dengan modal sebanyak kurang dari RM100 ribu,” katanya.
“Edisi pertama iaitu set BFF, menggabungkan lipmatte dan liptint dalam satu kotak dengan warna yang menawan serta bersesuaian dengan semua warna kulit kini di pasaran dengan harga yang mampu milik,” tambahnya lagi.
Produk Mariposa mensasarkan golongan sasaran daripada remaja dan wanita yang ingin tampil cantik dan berkeyakinan dengan menggunakan warna edisi terhad liptint dan lipmatte yang akan menonjolkan keserian bibir pada wajah mereka.
“Saya dan Riena berasa sangat gembira kerana ini adalah first baby kami setelah beberapa bulan kami mengusahakan Mariposa dengan banyak perselisihan dan kepayahan yang kami hadapi bagi mendapatkan warna dan tekstur yang sesuai untuk produk kosmetik ini,”- katanya ketika ditemubual wartawan Nadi Bangi.
Riena Diana berkata pelan asalnya ialah membuka kedai makanan tetapi keadaan tidak mengizinkan dan kini beliau bersama rakan karibnya memulakan perniagaan kosmetik.
“Warna yang sesuai pada bibir akan membuatkan seseorang itu kelihatan cantik dan kami mahu semua kelihatan cantik dengan bibir yang menawan bersama edisi terhad BFF Mariposa.” Tambahnya lagi.
Hellin Nurshazwena, 22, yang merupakan pengguna Mariposa berkata “Tekstur lipstick yang ringan, berbau wangi dan rasa buah membuatkan saya suka untuk memakainya. Sebelum ini saya ada beli lipstick lain yang teksturnya agak tebal dan ianya merekahkan bibir saya tetapi dengan Mariposa masalah itu tiada lagi,”
Madhumitha Selvaraj, 21, pelajar UKM mengatakan bahawa dia amat suka Mariposa set BFF kerana bersesuaian dengan warna kulitnya dan mereka telah menganjurkan majlis pelancaran dengan baik dan menyediakan beg cenderahati kepada semua tetamu. Mereka turut memberi set kosmetik kepada tetamu bagi mencuba produknya.
Majlis pelancaran yang bertemakan Mariposa mempersembahkan Zulieda dan Riena berpakaian dress sedondon berwarna biru yang amat memikat. Majlis berjalan lancar dan dihadiri oleh beberapa pihak dari media yang turut sama memeriahkan majlis.
Comentários