top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Pelajar IPT Tersepit Gara-gara Arahan Bercanggah?

Updated: Mar 21, 2020


Oleh: Amira Zulaikha Saidon Penyunting: Liu Jiun Er



Sumber: Twitter



BANGI, 20 MacPelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tersepit antara arahan untuk mengosongkan kolej kediaman oleh pihak universiti dan larangan keluar antara negeri (domestik) oleh Ketua Polis Negara.


Dalam Perutusan Khas Perdana Menteri YAB Tan Sri Datuk Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin, mengenai Covid-19, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.


“Saya sedar bahawa saudara dan saudari mungkin merasakan tindakan yang diambil oleh kerajaan ini menimbulkan kesulitan, kesukaran untuk saudara dan saudari menjalani kehidupan seharian. Namun, tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara kita ini”


Perintah kelima ialah penutupan semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara. Seiring dengan perutusan tersebut, pihak IPT di seluruh negara akur lalu mengeluarkan pekeliling mengenai penutupan IPT dan pembelajaran secara atas talian yang akan digunakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.


Kebanyakan pihak IPT menggalakkan pelajar mereka untuk pulang ke rumah. Malahan, ada juga pihak IPT yang mewajibkan pelajar untuk mengosongkan kolej masing-masing. Ini mengakibatkan pelajar IPT berpusu-pusu membeli tiket bas mahupun kapal terbang untuk pulang ke halaman masing-masing.


Dalam kekalutan para pelajar untuk mencari cara pulang ke kampung halaman, keluar pula arahan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menyatakan larangan keluar antara negeri (domestik) yang terus berkuat kuasa malam selepas jam 12 malam.


Individu yang ingin melakukan pergerakan antara negeri selepas jam 12 malam kini perlu melaporkan diri di balai polis untuk mendapatkan Borang Kebenaran Rentas Negeri. Lautan orang ramai yang membanjiri terminal bas seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS) kini berubah kepada barisan panjang di balai-balai polis berdekatan.


Keadaan huru-hara ini telah mengakibatkan social distance yang sepatutnya dilaksanakan untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19 ini dilanggar, ekoran orang ramai yang berkumpul di suatu tempat. Kekecohan ini berlaku akibat arahan daripada pelbagai pihak yang tidak seragam sehingga berlaku percanggahan maklumat.


Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudiannya melakukan u-turn dengan menarik balik perintah larangan keluar dari satu negeri ke negeri lain selepas mendapati orang ramai berpusu-pusu mengisi dokumen keluar di balai polis seluruh negara.


“Tiada sebarang sekatan akan dikenakan ke atas mereka sehingga satu keputusan baru bakal diumumkan selepas mesyuarat berhubung perkara ini, esok”.

34 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page