Nadi Bangi
Pelajar Jual Pulut Rendang Dan Kopi Cara Baru
Oleh: Hazwani Syairah
Penyunting: Ain Natasha

Sumber: Instagram @pulutdankopi
KAJANG, 24 Mei- Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, itulah peribahasa yang mampu menggambarkan kegigihan dua pelajar yang telah berjaya menjana pendapatan melalui perniagaan pulut rendang dan kopi dengan keunikan yang menciptakan satu kelainan berbanding peniaga kopi yang lain.
Nor Fazrina Fazrin Binti Hassan, 28 merupakan pelajar dalam jurusan Ijazah Sarjana Statistik dan Iffah Irdina Binti Juha, 27 merupakan pelajar Ijazah Sarjana Komunikasi Visual dan Media Baru di Universiti Teknologi Malaysia (UITM) Shah Alam yang kini menjalankan perniagaan pulut rendang dan kopi secara sepenuh masa berhampiran Bandar Teknologi Kajang. Menariknya gerai ini, apabila elemen-elemen vintaj dan tradisional digabungkan bagi menarik minat pelanggan yang meminati pulut dan kopi. Sebuah van Volkswagen antik juga digunakan oleh mereka bagi urusan perniagaan dan ia juga telah menjadi satu tarikan luar biasa bagi pelanggan untuk mengenalpasti gerai mereka di kawasan tersebut.
“Sebagai pelajar, kita selalu mencari jalan untuk menjana pendapatan lebih untuk bayar yuran. Bermula dari situ, kami mengambil keputusan untuk membuka gerai pulut dan kopi kecil di tepi jalan sejak dua bulan lalu. Tambahan lagi, kami berdua merupakan pencinta kopi yang mesti meminumnya setiap hari. Bermula dari situ, datang idea untuk menjadikan gerai kopi agar mudah didapati oleh pelanggan supaya tidak perlu untuk pergi ke bandar bagi mendapatkan secawan kopi yang menepati citarasa ramai.” Ujar pengasasnya ketika ditanya mengenai perjalanan awal perniagaan ini.

Sumber: Instagram @pulutdankopi
Selain kopi, pulut rendang juga merupakan menu utama yang sentiasa mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Pulut kuning merupakan hidangan tradisional yang dimakan bersama rendang ayam kuning atau rendang daging hitam. Elemen tradisional seperti membungkus pulut menggunakan daun pisang mampu menarik minat pelanggan untuk membeli.
“Ini akan memberikan perasaan tradisional dan ada juga pelanggan yang mengatakan mereka merasa seperti berada di kenduri atau Hari Raya ketika makan pulut kami. Pulut kuning sukar diperoleh. Biasanya orang makan pulut kuning dengan rendang di kenduri atau semasa hari raya atau pada majlis-majlis khas. Oleh itu, kami ingin menjadikannya mudah didapati oleh orang ramai untuk makan pulut kuning dengan rendang.” Jawab mereka ketika ditanya mengenai sambutan pelanggan tentang menu sedia ada.
Hampir kesemua proses yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan ini dilakukan oleh dua orang pelajar ini sendiri seperti penghasilan logo, pemasaran, produk fotografi, penghasilan produk jualan dan sebagainya. Oleh itu, pelbagai kelainan dapat dicipta dan mereka juga tidak menyangka sambutan yang diterima sangat memberangsangkan malah pelanggan mereka juga terdiri daripada masyarakat yang berbilang bangsa dan lapisan umur.
Mengulas mengenai perancangan masa hadapan perniagaan pulut dan kopi, pengasasnya memberitahu bahawa mereka mempunyai perancangan untuk memajukan lagi perniagaan ini ke peringkat yang lebih tinggi. Tambahan lagi, mereka juga mempunyai perancangan untuk membuka sebuah kafe yang membawa konsep dan stail yang sama serta membuat penambaikan agar perniagaan ini sentiasa mendapat sambutan yang luar biasa.