Nadi Bangi
Pelajar Perubatan UKM Jana Pendapatan Sampingan Dengan Berniaga Burger
Oleh: Azmi Nordin
Penyunting: Rahimi Rahim

CHERAS, 29 Jun - Arahan Larangan pulang ke rumah digunakan dengan baik oleh sekumpulan pelajar perubatan dengan memulakan sebuah perniagaan burger di Kolej Tun Dr Ismail, Universiti Kebangsaan Malaysia Kuala Lumpur, Cheras.
Peningkatan jumlah pesakit Covid-19 di Hospital UKM mengakibatkan ujian penilaian yang memerlukan mereka berhadapan dengan pesakit sebenar terbantut. Pelajar perubatan UKM kampus Kuala Lumpur tidak dibenarkan pulang ke rumah sejak 2 minggu lepas sekaligus mereka mempunyai masa yang sungguh lama untuk digunakan. Nabihah Mokhtar antara pelajar yang menjayakan perniagaan burger yang diberi nama Burgembira bersama 3 lagi rakannya Surianti, Shazwani Khan dan Shazwani Shuhairi tatkala berhadapan dengan situasi ini. Kesempatan ini digunakan sebaik mungkin bagi mereka daripada masa dibazirkan begitu sahaja.
Menurut Nabihah sendiri, membangunkan sebuah perniagaan tidak semudah yang disangka ditambah pula dengan penghuni di Kolej Tun Dr Ismail sendiri yang sedikit, namun hasil daripada sokongan keluarga, rakan rakan, dan juga warga kampus itu sendiri membuatkan mereka lebih bersemangat untuk meneruskan perniagaan ini selagi arahan baru daripada fakulti belum dikeluarkan.
“Perniagaan ini tidak dibangunkan dengan mudah. keuntungan baru dapat dilihat pada hari ketiga perniagaan dan kini kami menerima pesanan 60 hingga 80 biji burger setiap hari. Keuntungan yang kami perolehi tidak banyak namun cukup untuk kami dapatkan semula modal dan keuntungan yang boleh menampung kehidupan kami sepanjang tersangkut di kampus ini. Yang paling penting adalah sokongan daripada keluarga dan rakan rakan yang tidak putus membantu dalam menjayakan perniagaan kami ini.”
Permintaan yang meningkat saban hari menyakinkan mereka untuk menambah lagi senarai makanan untuk dijual seperti Fries dan juga menyediakan perkhidmatan tempahan melalui aplikasi Whatsapp. Tempahan awal memudahkan lagi urusan mereka yang ingin membeli burger kerana tidak perlu beratur panjang dan menunggu lama untuk mendapatkan makanan tersebut. Tawaran-tawaran seperti ini membuatkan Burgembira mampu mencapai tahap jualan yang memuaskan. Tidak lupa juga pengiklanan turut dilakukan di media sosial seperti Instagram dan Whatsapp setiap hari untuk menarik lebih ramai pelanggan sekaligus menaikkan hasil jualan dan kini jumlah pengikut di Instagram Burgembira telah mencapai 100 pengikut dalam masa 3 hari.
Menurutnya lagi, perancangan untuk berniaga semasa berada di dalam tempoh berkurung di kampus datang secara tiba tiba dan sokongan daripada rakan yang setuju untuk teruskan apa yang beliau inginkan ini diterima baik malah mereka juga turut membantu bagi menjayakan perniagaan ini.
“idea untuk membuat perniagaan secara kecil kecilan ini berlaku apabila saya sendiri berasa lapar pada waktu malam dan teringin untuk makan burger di tepi jalan. Saya terfikir kenapa tidak saya menjual burger untuk menjana pendapatan tambahan pula tersangkut di kampus sebab masa yang dibazirkan begitu sahaja sungguh lama dan tidak menguntungkan. Persetujuan daripada rakan rakan dan keluarga menjadi titik permulaan Burgembira dibangunkan”
Pandangannya tentang apa yang berlaku sekarang terhadap mereka adalah sangat sedih dan mengecewakan. Walaupun apa yang mereka lakukan ini dapat dilihat menguntungkan , namun masa yang ingin diluangkan bersama keluarga di rumah adalah keutamaan yang mereka mahukan. Kerinduan terhadap orang tersayang di rumah tidak dapat dinafikan lagi. Namun arahan yang diterima perlulah dipatuhi bagi mengekang penyebaran Virus Covid-19 daripada terus melarat saban hari.