top of page
  • Writer's pictureChua Yung Qi

Pelajar Sekolah Seni Mencipta Kraf Tangan Guna Laser

Updated: Nov 15, 2022

Penulis: Chua Yung Qi

Penyunting: Ahmad Hasif bin Halimi


Guru dan pelajar dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur yang terlibat dalam Bengkel Kesenian.

(Sumber: Facebook SSeMKL-Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur)


BANGI, 2 Nov - Kraf tangan yang dihasilkan menggunakan laser dijual di Bengkel Kesenian anjuran Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur sempena Festival Sambutan Dua Dekad Seni Bina (SB20) UKM di Pusanika pada 2 November yang lalu.


Tarikan utama mengenai bengkel ini adalah bengkel “lasercard”, di mana teknologi laser digunakan untuk mencetak gambar pelanggan pada papan kayu. Masa yang diambil untuk menghasilkan satu “lasercard” adalah sekurang-kurangnya 30 minit, bergantung kepada gambar yang dicetak dengan harga jualan RM10 sekeping.


Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur diundang untuk mengadakan Bengkel Kesenian yang dipenuhi dengan pelbagai pengisian yang menarik termasuk pameran “wire sculpture”, demonstrasi lukisan daripada pelajar sekolah seni, bengkel “button badge”, bengkel “lasercard”, bengkel cetakan lino dan beberapa aktiviti yang lain.


Paling menarik mengenai bengkel ini adalah moderator yang menguruskan aktiviti semuanya hanya pelajar dari sekolah seni yang berusia dari 13 tahun hingga 16 tahun. Terdapat juga seorang pelukis ilustrasi yang baru sahaja menampilkan karya beliau di Pesta Buku Frankfurt di Jerman. Seramai 21 orang pelajar dan 4 orang tenaga pengajar dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur telah terlibat dalam bengkel ini.



Bengkel “lasercard” yang menawarkan perkhidmatan melaserkan gambar yang dihantar oleh pelanggan pada papan kayu dengan harga RM10 bagi sekeping papan.

(Sumber: Facebook SSeMKL-Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur)


Menurut Ketua Bidang Seni Visual Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, Yusnirah Mohamed Yusof, berkata, tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk memberi platform kepada pelajarnya untuk menjual hasil kemahiran yang dicipta sendiri.


“Bengkel ini dilaksanakan bagi memberi satu platform kepada pelajar sekolah seni untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari sewaktu aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan (pdpc) di tempat awam. Mereka juga dapat bergaul dengan orang luar seperti pegawai, pensyarah dan pelajar UKM,” ulasnya lagi.


Menurut beliau lagi, personaliti pelajar bidang seni visual adalah kurang aktif berbanding pelajar bidang seni persembahan yang merangkumi teater, muzik dan tarian. Mereka lebih bersifat pasif dan introvert.


Selain itu, pelajar juga dapat menjana pendapatan dengan bakat sendiri. Caj yang dikenakan bagi setiap bengkel berbeza, berjulat dari RM5 hingga RM20 manakala bayaran untuk demonstrasi pelajar boleh mencapai RM80. Difahamkan bahawa jumlah pendapatan yang dijana mencecah RM1000.


“Penilaian turut dilakukan berdasarkan kemahiran keusahawanan dan sahsiah pelajar. Mereka akan diberikan 60 peratus daripada hasil jualan dan selebihnya diberikan kepada pihak sekolah,” kata Yusnirah.


Sambutan Dua Dekad Seni Bina UKM adalah bersempena dengan ulang tahun ke-20 penubuhan Jabatan dan Program Seni Bina UKM anjuran Jabatan Seni Bina dan Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.

Selain Bengkel Kesenian, terdapat lagi pelbagai pengisian program diadakan termasuk Pameran Seni Bina yang memaparkan hasil kerja pelajar, Persidangan seniBINA 2022 dan Bicara Serambi serta Festival Seni, bertempat di Pusanika.


Program yang berlangsung selama 3 hari ini dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad bin Kassim.




256 views2 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page