top of page
  • Writer's pictureAhmad Bhaihaqi

Pelajar UKM Berjaya Masuk IPT Tanpa UPSR Dan PT3

Penulis: Ahmad Bhaihaqi

Penyunting: Priiyalakshmi Kumarrajah


Sumber Foto: Nadi Bangi


Mutiara kata “From Zero To Hero” adalah satu frasa yang tepat bagi seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bernama Mah Voo King atau lebih mesra dipanggil Kim.


Kim yang merupakan pelajar tahun satu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) yang berasal daripada negeri Sabah yang pernah berhenti sekolah sewaktu sekolah rendah disebabkan pengaruh rakan sebaya semasa berusia 11 tahun sehingga tidak sempat mengambil peperiksaan besar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tetapi berjaya berada di universiti terkemuka di Malaysia sekarang.


Kim berkata lagi sewaktu berkawan dengan mereka, terdapat banyak perkara baharu yang belum dirasai oleh beliau seperti belajar untuk merokok. Malah, beliau juga turut ketagih dengan permainan video sehinggakan menghabiskan masa yang lama di kafe siber. Disebabkan hal ini juga, beliau menjadi ketagih dengan permainan video dan menyebabkan minatnya untuk belajar hilang.


Kim juga berkata dia sanggup berjalan kaki dari rumahnya ke kafe siber yang jaraknya lebih kurang satu kilometer semata-mata untuk menghabiskan masa dengan melepak dan bermainpermainan video bersama-sama dengan kawan-kawan sebaya sehingga lewat malam. Oleh demikian, perkara ini menyebabkan beliau sanggup mengambil keputusan untuk ponteng sekolah sehingga berbulan-bulan.


Disebabkan lama tidak menghadiri persekolahan, pengetua dan juga guru disiplin sendiri datang ke rumahnya bagi memujuknya untuk kembali ke sekolah, namun bak kata pepatah “ibarat mencurah air ke daun keladi”, Kim masih dengan keputusannya untuk tidak melanjutkan pelajaran.


Selama bertahun-tahun tidak bersekolah, Kim masih melanjutkan aktiviti hariannya seperti biasa iaitu melepak di kafe siber dengan tempoh waktu yang lama. Pada usia 15 tahun pula, beliau mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan dengan bekerja sebagai pelayan di sebuah Pub.


Keinsafan

Sepanjang bekerja di Pub, Kim banyak berjumpa dengan pelbagai jenis orang yang berada dalam Pub itu. Namun, ada seorang insan yang berjaya menjentik hatinya untuk terus melanjutkan pelajaran.


“Sepanjang saya bekerja dalam Pub, saya banyak jumpa berbagai-bagai jenis perangai manusia tapi dalam banyak-banyak orang, ada satu kakak ini dia selalu bertanyakan khabar saya dan sering menanyakan soal hal pembelajaran saya.


“Dia juga sering menasihati saya agar teruskan pembelajaran kerana sampai bila saya nak terus bekerja dalam bidang ini (pelayan pub). Disebabkan kata-kata dia jugalah saya banyak terfikir dan mengambil berat akan kata-katanya itu,” katanya.


Oleh itu, Kim mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajarannya semula dan meminta bantuan kakaknya agar memujuk bapanya untuk menolongnya menguruskan segala prosedur bagi kemasukan semula ke sekolah. Namun, nasib tidak menyebelahinya kerana bapanya sendiri tidak sanggup dan berputus asa akan dirinya hanya kerana berasa malu dengan jiran-jiran sekeliling.


Disebabkan kegigihannya untuk menyambung belajar, beliau selalu meminta tolong kakaknya untuk membantunya kembali ke alam persekolahan dan lama-kelamaan kakaknya sendiri membantunya kembali ke alam persekolahan.


Sewaktu berjumpa dengan pegawai pendidikan daerah Sandakan, Kim akui terpaksa menahan malu dan juga bebelan yang diterima kepadanya. Pada mulanya, pegawai berkenaan berkata bahawa dia berkemungkinan besar tidak boleh lagi menyambung pelajaran kerana tiada kelayakan akademik yang sepatutnya (tiada pendaftaran untuk peperiksaan besar seperti UPSR dan PT3). Namun, pegawai berkenaan mencadangkan Kim untuk pergi berunding terus dengan

pengetua sekolah.


Kembali Ke Alam Persekolahan

Setelah berjaya memasuki alam persekolahan, Kim nekad untuk tidak lagi ponteng sekolah dan berjanji dengan dirinya sendiri agar fokus dengan pelajaran. Sewaktu di sekolah menengah, Kim telah berjumpa dengan Puan Anne iaitu guru kelasnya sendiri. Puan Anne ini jugalah banyak membantunya sewaktu berada di alam persekolahan dulu.


“Sewaktu saya mula-mula masuk Puan Anne ada juga bertanyakan latar belakang saya dan dia juga agak terkejut sewaktu mengetahui latar belakang saya dulu.


“Dia juga selalu berkata bahawasanya saya mempunyai banyak potensi dalam diri dan mampu untuk melangkah lebih jauh lagi.


“Pada waktu itu juga, saya banyak kali stress, murung dan sedih. Jadi, Puan Anne ini jugalah banyak menasihati saya agar teruskan berjuang kerana masih banyak perkara-perkara yang saya belum terokai,” katanya lagi.


Pra Universiti Dan UKM

Selepas menamatkan alam persekolahan menengah, Kim hilang arah dan tidak tahu ke mana hala tujunya selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun, Kim berjaya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajarannya ke Pra Universiti atau lebih dikenali sebagai Tingkatan 6 pada saat kawan-kawan lain sibuk membuat permohonan UPU (Unit Pengambilan Pelajar).


Sepanjang berada di Pra Universiti, banyak cabaran yang terpaksa dilaluinya yang membuatkannya hilang semangat untuk terus meneruskan pembelajaran ditambah lagi dengankemunculan pandemik Covid-19 yang menyebabkan semua pelajar terpaksa belajar secara atas talian sahaja. Hal ini menyebabkan banyak gangguan yang terjadi seperti hilang fokus dan sebagainya.


Namun begitu, cabaran yang mendatang tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang dalam pembelajaran. Kerja kerasnya selama ini akhirnya terbalas dengan mendapat keputusan 3A 1B+ sewaktu semester pertama Pra Universiti dahulu. Hal ini sedikit sebanyak mendorongnya untuk meneruskan pembelajaran di Pra Universiti.


Sewaktu semester 3, Kim berjaya dinobatkan sebagai antara 5 pelajar terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan menjadi satu-satunya pelajar lelaki yang berjaya menjadi pelajar terbaik STPM. Hasil keseluruhan semasa berada di Pra Universiti itu, Kim berjaya mendapatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sebanyak 3.67 dan akhirnya beliau berjaya melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi di UKM.


Sumber Foto: Pinterest

236 views1 comment

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page