Nadi Bangi
Pelajar UKM Bersedia Beraya Di Kampus
Oleh: Nadia Nurshazira Mohd Sharani
Penyunting: Seri Haidah Jaapar

Sumber: Google
BANGI, 27 April - Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terkandas di kampus Bangi bersedia menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa keluarga jika pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.
Dalam kesibukan umat Islam menyiapkan persiapan untuk menyambut bulan Syawal yang akan menjelang tiba, bagaimanakah dengan nasib pelajar UKM yang terkandas di kampus? Perkara ini demikian akan membuatkan mereka mula berasa tertekan apabila memikirkan sebarang kemungkinan mereka akan berhari raya seorang diri di kampus sekiranya PKP masih dilanjutkan.
Muhammad Ariq Ibnu Hanif, 20, mahasiswa Indonesia jurusan Media dan Komunikasi bersedia untuk menyambut perayaan di kampus jika pergerakan rentas negara terus tidak dibenarkan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.
“Saya mengaku tidak pernah kembali ke Medan selama setahun lebih bermula daripada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 disebabkan kawalan rentas negara yang menghalang saya untuk berjumpa dengan keluarga di sana, namun kami hanya berkomunikasi melalui video call dan whatsapp untuk melepaskan rindu”, kata Ariq.
Sebelum menjelang bulan Syawal, beliau kebiasaannya melaksanakan ibadah tarawikh bersama keluarga dan mencuba kuih atau hidangan yang dibuat oleh mereka namun tidak pada tahun ini. Beliau mengaku sudah tentu keseronokan yang berbeza apabila beraya di rumah bersama keluarga dan di kampus bersama rakan-rakan.
“Saya bersedia untuk beraya di kampus kerana saya bersyukur setakat ini terdapat perkhidmatan segala keperluan pelajar yang telah disediakan oleh pihak kampus mahupun kolej kediaman. Tambahan ia merupakan satu pengalaman melaksanakan solat Aidilfitri di masjid UKM bersama rakan-rakan di sini”, katanya.
Kerajaan hari ini mengumumkan seluruh negeri Kelantan masih lagi kekal di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu susulan kes jangkitan di negeri itu yang semakin meningkat.
Menurut Wan Farizi Putera Wan Rosdi, 23, salah seorang pelajar jurusan Linguistik tahun 3, tidak dapat nafikan perasaan sedih kerana pertama kali terpaksa berjauhan dengan keluarga di Gua Musang, Kelantan.
“Sejujurnya perasaan itu agak bercampur baur. Dari segi mental awal-awal ketika mahu pulang ke kampus dahulu pun sudah jangka memang saya tidak boleh balik raya”, ujarnya lagi.
“Kebiasaannya waktu-waktu begini kalau di rumah, keluarga saya tengah prepare untuk menyambut Aidilfitri. Rumah-rumah jiran pun dah meriah dengan lampu raya dan pelita. Kalau di kampus tidak dapat merasa semua itu, jadi suasana raya kurang meriah tetapi vibe raya itu masih ada”, tambah beliau.
Berikutan dengan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sempena perayaan Aidilfitri yang sepatutnya diumumkan hari ini pada 27 April 2021 yang masih menjadi tanda tanya oleh masyarakat Malaysia apabila status masih dalam perbincangan.
Menurut Ain Natasha Farha Azillah, 22, “Sekiranya kerajaan mengeluarkan kenyataan bahawa rentas negeri atau daerah tidak dibenarkan, sudah semestinya ibu saya memaksa saya untuk pulang ke rumah di Rawang, Selangor”.
“Sejujurnya, saya teringin untuk menyambut perayaan pertama Aidilfitri di kampus sebab saya tidak pernah menyambutnya dengan rakan-rakan di sini. I think it would be a golden experience!” katanya lagi.
Penuntut ijazah sarjana muda jurusan Psikologi itu berkata, beliau mempunyai rakan rapat di kampus yang tidak dapat pulang ke rumah di Pahang. Beliau risau dan simpati akan keadaan rakannya jika terpaksa beraya di kampus kerana rata-rata mereka tinggal di Selangor yang merupakan satu daerah dengan UKM kampus Bangi.
Walau bagaimanapun, bagi mereka tiada yang lagi indah daripada menyambut hari raya bersama keluarga yang terpisah jauh di perantauan dan berharap semoga kes positif Covid-19 berkurangan agar seluruh rakyat Malaysia dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga.