• Nadi Bangi

Pelajar UKM Lega Waktu Operasi Kafe Di Kampus Dilanjutkan

Oleh: Nadia Nurshazira Mohd Sharani

Penyunting: Seri Haidah Jaapar


MyCafe Kolej Keris Mas, UKM


BANGI, 28 Jun - Waktu operasi kedai makanan dan restoran yang telah dilanjutkan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuatkuasa hari ini sangat memberi kelegaan kepada pelajar terutamanya yang tinggal di kediaman kolej Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus Bangi.


Menurut sumber yang dipetik daripada Berita Harian, perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan pada Ahad dan beliau berkata sebelum ini operasi membabitkan premis kedai makan dan restoran hanya dibenarkan beroperasi bermula 8 pagi hingga 8 malam.


"Selepas mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan, sidang mesyuarat bersetuju untuk menukar waktu operasi premis yang menjual makanan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuatkuasa 28 Jun," katanya.


Menurut Sofea Zairuddin, 23, yang merupakan pelajar daripada program Pengajian Bahasa Inggeris berkata bahawa beliau berasa amat lega apabila kafe di kawasan kolej sudah dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam.


“Selalunya saya nak beli makanan untuk makan malam pun terburu-buru, kadang-kadang sehingga tak sempat nak beli sebab kafe tutup awal. Dengan penambahan waktu pengoperasian ni memudahkan lagi pelajar di dalam kampus,” kata Sofea.


Beliau berpandangan bahawa tempoh operasi restoran tidak mempunyai hubungkait dengan peningkatan kes Covid-19 kerana waktu operasi restoran bukan punca utama bagi isu tersebut.


Muhammad Syafiq Abdul Rahman, 21, pula mengakui bahawa pengoperasian kafe di kampus sehingga 8 malam sangat membebankan pelajar kerana mereka terpaksa berlapar pada waktu malam sehingga kadang-kadang terpaksa berpusu-pusu untuk membeli makanan sebelum jam 5 petang.


“Saya rasa gembira dan lega sebab tak perlu risau lagi untuk memesan makanan di kafe kolej kediaman atau memesan makanan menerusi aplikasi seperti Grabfood dan Foodpanda dengan tergesa-gesa”, tambah beliau.


Alyaa Nabihah Zainal, 26, berpendapat bahawa jika masing-masing mempunyai inisiatif untuk menjaga SOP dalam tempoh pengoperasian restoran atau kafe di kampus, berkemungkinan kes tidak akan naik mendadak.


“Pelajar perlu pegang pada prinsip ‘kita jaga kita’, tiada siapa yang akan mengambil berat tentang diri kita melainkan diri kita sendiri,” ujar beliau.


Beliau mencadangkan bahawa kerajaan tidak sepatutnya menyekat pengoperasian restoran sehingga 8 malam kerana kes yang mendadak naik berpunca daripada tempat kerja.


Namun, pelajar perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada setiap masa bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dielakkan dalam kalangan mereka dan warga universiti.

55 views0 comments