Umi Hanisah Jeshri
Pelajar UKM Selami Kehidupan Bekas Penagih di PUSPEN
Penulis: Umi Hanisah
Penyunting: Yasmin Yuhanis

Sumber Foto: Umi Hanisah
SUNGAI BESI, 19 Dis - Seramai 22 orang pelajar UKM dibawah kursus Pendidikan dan Pencegahan Dadah telah menyertai lawatan ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Sungai Besi (PUSPEN) bagi menyelami kisah kehidupan bekas penagih dadah di situ.
Lawatan ini telah melibatkan pelajar daripada kursus dadah dan pemulihan serta pelajar citra pendidikan dan pencegahan dadah dengan tujuan memberi pendedahan berkaitan rawatan dan pemulihan yang ditawarkan oleh pihak agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK).
Bagi Prof. Madya Datin DR. Fauziah Ibrahim, 46, pensyarah bagi kursus ini berkata beliau berharap dengan hasil daripada lawatan ini, pelajar dapat menimba ilmu baharu berkaitan rawatan dan pemulihan dadah serta membantu menyalurkan maklumat kepada orang yang memerlukan.
Nadi Bangi berpeluang turun ke lapangan menemu bual beberapa orang bekas penagih dadah yang sedang dalam tempoh pemulihan, kebanyakan daripada mereka sukarela datang ke PUSPEN bagi mendapatkan rawatan kerana telah mengambil dadah seperti ais, syabu, ganja, morfin, ketum dan sebagainya.
Pengambilan dadah tidak mengira umur, pangkat serta jantina dan sesiapa sahaja boleh terlibat dalam kancah ini.
Segelintir daripada kelompok mereka yang terlibat dalam kancah ini merupakan golongan yang mahukan sesuatu perubahan dalam kehidupannya dan mereka layak diberikan peluang untuk mengubah masa depan hidup mereka.
Nurul Huda Insyirah Mohd Yasin,22, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Melayu berkata, “ saya bersyukur diberi peluang untuk selami kisah hidup mereka yang mungkin semua tidak tahu dan dapat membuang stigma takut untuk mendekati golongan ini.
Pada mulanya saya agak takut untuk bertanya soalan kerana khuatir menimbulkan rasa tidak selesa, tetapi sebaliknya kami berjaya menyikap kisah mereka dengan saling berkongsi cerita.
Saya juga berharap masyarakat di luar sana menghentikan segala hinaan terhadap golongan ini kerana mereka juga berhak untuk hidup seperti manusia lain.” katanya.
Menurut Nurul Nabihah Binti Mohd Nor, 22, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian Sejarah, selepas berjumpa dengan mereka perspektif negatif terhadap mereka berubah kerana melihat semangat mereka yang mahukan perubahan dalam kehidupan dan berusaha tidak mahu mengulanginya lagi.
“Banyak juga ilmu pengetahuan baharu yang diperolehi hasil daripada sesi kaunseling berkelompok bersama mereka, antaranya tidak semua dadah mampu mengubah fizikal seseorang menjadi kurus ada juga masih berisi walaupun sedang menghisap,” katanya.
Pihak PUSPEN telah banyak membantu bekas penagih dari segi cara untuk berdikari, melatih emosi untuk menahan diri daripada “gian” untuk mendapatkan dadah, memberikan suntikan rohani dan pelbagai lagi bentuk pemulihan mengikut modul yang telah dirangka.