top of page
  • Writer's pictureNorFara Faziera Razali

Pelancaran Piala Sukarelawan Menteri Pendidikan Malaysia 2023 Disambut Baik 26 Kelab Penyayang

Updated: Nov 20, 2022

Penulis : Norfara Faziera Moh Razali

Penyunting : Siti Syazreen Mohd Mahdzim

Sumber Gambar: Ruzaini Ijon


KAJANG, 15 Nov - Sebanyak 26 Kelab Penyayang di seluruh negara telah menyertai pelancaran Pertandingan Piala Sukarelawan Menteri Pendidikan Malaysia 2023 yang dianjurkan oleh Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 13 November di RHR Hotel Kajang, Selangor.

Pelancaran Pertandingan Piala Sukarelawan Menteri Pendidikan Malaysia 2023 telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Prof Datuk Dr. Husaini Bin Omar. “Dengan adanya Piala Sukarelawan Menteri Pendidikan Tinggi ini, saya berharap pihak IPTA dan IPTS akan lebih giat dalam melaksanakan aktiviti kesukarelawanan dan bukan semata-mata untuk ganjaran malah menjadikan pelajar individu yang berperibadi mulia,” katanya. Pertandingan Piala Sukarelawan Menteri Pendidikan Tinggi merupakan cetusan ilham Yayasan Budi Penyayang Malaysia dan bertujuan untuk menyemarakkan semangat kesukarelawanan di kalangan ahli-ahli Kelab Penyayang dan pelajar institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia. Bagi Adliana Binti Malik, 21, pelajar jurusan Sastera Bahasa dan Linguistik Inggeris di Universiti Putra Malaysia berkata program seperti ini memberi semangat baru kepada para sukarelawan untuk melaksanakan aktiviti kesukarelawanan dengan bantuan dana yang diberikan. Nur Asyiqin Binti Ahmad, 23, pelajar jurusan Sains Komputer di Universiti Malaysia Pahang berkata dia amat teruja dapat terlibat dengan program ini selepas dua tahun negara dilanda pandemik dan banyak program kesukarelawanan di peringkat universiti tidak dapat dijalankan. Pertandingan Piala Sukarelawan Menteri Pendidikan Tinggi ini memerlukan setiap kelab menyediakan satu kertas cadangan yang memfokuskan kepada perkara yang mampu mencapai objektif hasil projek komuniti kelab. Setiap kelab mempunyai masa bagi menyediakan dan menghantar kertas cadangan mereka sehingga 3 Februari 2023. Juara bagi pertandingan Sukarelawan Menteri Pendidikan Malaysia 2023 ini dipilih dari pasukan yang mencadangkan projek komuniti yang paling berimpak tinggi, berinovasi dan praktikal. Juara akan menjulang piala pusingan serta jumlah wang sebanyak RM25,000 untuk melaksanakan projek komuniti yang telah dicadangkan. Pertandingan ini turut diadili oleh panel juri daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi, Yayasan Budi Penyayang Malaysia serta juri jemputan. Yayasan Budi Penyayang Malaysia berharap dengan wujudnya pertandingan ini, Kelab Penyayang akan mengorak langkah dengan ke arah kecemerlangan dalam kerja-kerja kebajikan dan kesukarelawanan.

34 views0 comments

Opmerkingen

Beoordeeld met 0 uit 5 sterren.
Nog geen beoordelingen

Voeg een beoordeling toe
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page