top of page
  • Writer's pictureAina Dhalan

Pelita Panjut Gergasi Jadi Tarikan Penduduk Kg Ribu

Penulis : Aina Umairah Muhammad Dhalan

Penyunting : Ahmad Fayyadh Muhamad


Sumber : Nadi Bangi


KUALA KANGSAR, 20 MEI – Tradisi pemasangan pelita panjut gergasi menjadi tarikan utama bagi penduduk Kampung Ribu, Kuala Kangsar setiap kali menjelang Aidilfitri supaya dapat menarik perhatian ramai pengunjung untuk menyaksikan pertunjukan itu di sini.


Sejak pandemik COVID-19 yang lalu pesta pelita panjut tidak dapat diadakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan oleh kerajaan.


Tradisi ini telah lama dilakukan sejak tahun 90-an yang lalu dan akan dibuat secara besar-besaran pada malam ke 27 Ramadan sehingga malam hari raya atau lebih dikenali sebagai malam tujuh likur.


Panjut merupakan himpunan pelita yang dinyalakan dan disusun di atas buluh untuk dijadikan sebagai replika sebuah bangunan sama ada di dalam atau di luar negara.


Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderoh Datuk Zainun Mat Noor berkata semangat kerjasama antara penduduk kampung merupakan tonggak utama dalam menjayakan pertunjukkan panjut Kampung Ribu pada tahun ini.


Kebiasaannya penduduk di Kampung Ribu akan bergotong-royong melakukan persiapan untuk mendirikan panjut gergasi kerana proses penyediaan panjut memerlukan tenaga kerja yang ramai dan kuat untuk mengangkat buluh.


“Kerjasama yang erat dalam kalangan penduduk Kampung Ribu merupakan elemen penting untuk menjayakan pertunjukan panjut ini.


“Mereka akan melakukan persiapan sebelum bulan puasa lagi seperti mencari buluh yang berkualiti, tetupai, batang gelegar, keing lantai dan pelita,” katanya.


Sementara itu, sebanyak 1500 pelita telah digunakan untuk memasang pelita panjut gergasi yang mempunyai ketinggian sembilan meter dan selebar 14 meter.


Tema panjut yang dipilih pada kali ini masih lagi mengekalkan konsep seni bina Islam dengan memilih Masjid Putra sebagai sumber inspirasi pembinaan panjut gergasi.


Sebelum ini, Persatuan Penduduk Kampung Ribu telah memilih Masjid Selat Melaka, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar dan Taj Mahal sebagai gambaran bangunan.


Ahli Pusat Khidmat Masyarakat DUN Chenderoh, Haji Azman, 58, berkata Kampung Ribu tidak menyertai sebarang pertandingan pada tahun ini memandangkan penduduk memilih untuk bergotong-royong mendirikan panjut.


“Setiap tahun akan ada pertandingan panjut antara kampung dan merupakan acara tahunan. Cumanya, tahun ini kita mendirikan panjut sebagai pertunjukan sahaja.


“Kampung Ribu juga sering dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan panjut sama ada di peringkat kampung mahupun peringkat parlimen,” katanya.


Anugerah tertinggi yang pernah dicapai oleh Panjut Kampung Ribu ialah menjadi juara untuk tiga kali berturut-turut dalam peringkat kebangsaan.








141 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page