top of page
  • Writer's pictureMuhamad Nazeem

Pemain “Ke-12” Tulang Belakang Harimau Malaya Layak Ke Piala Asia 2023

Penulis : Muhamad Nazeem Mohd Nazri

Penyunting : Muhammad Syakir Ahmad Sazali


KUALA LUMPUR, 14 Jun: Seramai 52,964 orang penyokong telah membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya dalam saingan terakhir Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 menentang pasukan Bangladesh, semalam.


Sokongan padu yang diberikan oleh pemain “ke-12” iaitu penyokong Malaysia dari awal hingga akhir permainan telah menyuntik semangat skuad kendalian Kim Pang Gon, apabila mempamerkan aksi yang terbaik dan menewaskan pasukan Bangladesh.


Walaupun sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu telah menyatakan sorakan penyokong yang gemuruh telah mengakibatkan pemain negara hilang fokus pada perlawanan sebelum ini, perkara tersebut tidak mematahkan semangat penyokong untuk terus memberikan sokongan kepada skuad negara.


Penyokong skuad Harimau Malaya, Azri Zahari, 25, berkata, ini adalah masa yang dinanti-nantikan oleh seluruh penyokong untuk menyaksikan pasukan Malaysia layak ke Piala Asia.


“Petikan daripada Menteri Belia dan Sukan itu tidak sepatutnya berlaku tetapi kami sebagai penyokong tidak ada masalah yang penting kami terus beri sokongan kepada skuad negara dan penantian telah berakhir untuk kita layak ke Piala Asia itu yang lebih bermakna,” ujarnya.


“Harini adalah hari kita dan ini yang kita mahu lihat semangat daripada semua pemain bermain mati-matian untuk negara dan sebagai penyokong kami dah buktikan sokongan kami amat bermakna untuk bagi semangat kepada pemain Malaysia,” kata Ameer Lokman penyokong dari Pantai Timur.


Sementara itu, wakil daripada kelab penyokong Ultras Malaya, Haqeem Khairudin, 23, berkata, Ultras Malaya berpuas hati apabila melihat ramai penyokong Malaysia yang hadir untuk memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya.


“Sudah 2 tahun lebih kita tak dapat berkumpul di stadium seperti ini dan kehadiran penyokong daripada seluruh negeri membuatkan kami lebih bersemangat untuk bersorak sepanjang perlawanan.


“Kami tidak kisah apa yang nak dikatakan oleh mana-mana pihak kepada kami. Apa yang penting tanggungjawab kami adalah menjadi tulang belakang skuad negara dan terus sorak untuk mereka. Saya terharu dengan kemenangan harini dan lebih manis adalah kita layak ke Piala Asia 2023,” katanya ketika di temubual di stadium.


Skuad Harimau Malaya telah layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia 2023 setelah menewaskan pasukan Bangladesh 4-1 dan menjadi naib juara dalam kumpulan E.


17 views2 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page