top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Pembelian Panik Berlaku Semula?

Oleh: Farah A’lia Manan

Penyunting: Raihan Rahim

Sumber : Nadi Bangi

BALIK PULAU, 14 Nov – Pembelian panik berlaku semula di TF Value-Mart Balik Pulau, Pulau Pinang baru-baru ini apabila orang ramai berpusu-pusu membeli barangan keperluan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan semula di seluruh negeri di semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan bermula 9 November hingga 6 Disember.


Nadi Bangi sempat membuat tinjauan di TF Value-Mart Balik Pulau dimana jumlah pengunjung lebih ramai dari hari biasa apabila mereka mula berpusu-pusu membeli barang keperluan rumah sebelum PKPB bermula.


Mereka didapati membeli barangan rumah dengan dua kali ganda dari biasa yang dipenuhi dengan dua troli barang-barang basah seperti ayam, ikan, makanan beku dan juga telur bagi memenuhi barangan keperluan di rumah.


Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, “Sebelum ini semasa hari pertama PKP, memang berlaku pembelian panik di bandar-bandar besar di seluruh negara kerana mereka bimbang apa yang dibeli itu tidak mencukupi.”


Menurut portal berita Sinar Harian, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihak KPDNHEP sekali lagi memberi jaminan bekalan barangan keperluan asas mencukupi dan mudah diperoleh di pasaran.


“Jika beras tidak cukup hari ini, belilah esok. Semua peniaga akan beroperasi seperti biasa, jadi tidak perlu tergesa-gesa untuk beli barangan,” katanya.


Seorang pengunjung pasar raya, Suhairizan Bahari, 49 berkata, dia hanya membeli barangan keperluan dalam kuantiti yang dianggarkan cukup untuk seisi keluarga.


“Masa mula-mula PKP dulu saya memang terikut-ikut hendak membeli barangan keperluan secara berlebihan kerana risau ketiadaan stok di kedai runcit, maklumlah anak-anak ramai di rumah.


“Tetapi banyak juga makanan yang tidak habis dan banyak pembaziran berlaku,” katanya.


Nadi Bangi memetik komen oleh pemegang akaun Twitter @Farehaaaan yang menyatakan bahawa orang ramai tidak melakukan pembelian panik namun memikirkan anak-anak mereka yang tidak lagi perlu ke sekolah.


“Sebenarnya orang bukan buat pembelian panik, tapi lebih kepada nak tambah stok untuk anak-anak sebab anak-anak tak perlu ke sekolah selepas ini,” katanya.


Nadi Bangi juga memetik komen oleh pemegang akaun Twitter @sahalsafwan yang menyatakan bahawa, “Rakyat malaysia sepatutnya sedar tentang perkara ini, setelah kita sudah melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ni, hanya keluar jika barang sudah habis, keluar pada hari biasa bukannya pada hari minggu untuk mengurangkan risiko jangkitan dan perlu diingat kali ini jangkitan lebih berbahaya.” katanya.


Setiap kali kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan semula PKP di kawasan tertentu, pastinya tercetus fenomena pembelian panik di pasar raya dan kedai runcit sehinggakan berlakunya pembaziran makanan seperti yang tular di media sosial tentang pembuangan roti yang masih belum disentuh ke dalam tong sampah.

426 views2 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page